Protes besar-besaran di seluruh Pakistan sokong Imran Khan

Rakyat Pakistan berhimpun menyokong Imran Khan selepas beliau kdisingkirkan menerusi usul undi tidak percaya di Parlimen pada Sabtu. - Foto Reuters
Rakyat Pakistan berhimpun menyokong Imran Khan selepas beliau kdisingkirkan menerusi usul undi tidak percaya di Parlimen pada Sabtu. - Foto Reuters
A
A
A

NEW DELHI - Penyokong bekas Perdana Menteri Imran Khan mengadakan protes besar-besaran di seluruh Pakistan pada Ahad selepas pemimpin itu disingkirkan menerusi usul undi tidak percaya di Parlimen pada Sabtu.

Protes meletus di beberapa bandar utama termasuk Islamabad, Lahore, Karachi, Peshawar, Faisalabad, Quetta dan Rawalpindi.

"Tidak pernah terjadi dalam sejarah negara, sejumlah besar rakyat berhimpun secara spontan di seluruh negara," ciap Imran di Twitter.

Imran mengucapkan terima kasih kepada rakyat Pakistan atas "sokongan yang diberikan tanda bantahan kepada perubahan tampuk pemerintahan yang disokong pihak asing".

Orang ramai termasuk belia, wanita dan seluruh keluarga berhimpun sambil memegang sepanduk menyokong kepimpinan Imran dan melaungkan slogan anti kuasa asing.

Protes besar-besaran menunjukkan keupayaan Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) untuk menggerakkan sokongannya secepat mungkin.

"PTI mempunyai jumlah penyokong yang ramai di hampir setiap bandar Pakistan. Populariti Imran Khan semakin melonjak," menurut wartawan, Amir Zia.

Pergerakan Demokratik Pakistan (PDM) memperoleh 174 undi ketika usul tidak percaya dibentangkan di Parlimen yang dianggotai 342 Ahli Parlimen, sekali gus menggulingkan pemerintahan Imran yang berusia 44 bulan.

Artikel Berkaitan:

Presiden Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) Shehbaz Sharif, adik bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif, dicalonkan menggantikan Imran.

Sementara itu, PTI mencalonkan bekas Menteri Luar Shah Mahmood Qureshi untuk mencabar Shehbaz bagi jawatan Perdana Menteri baharu. - Bernama