Jual tanah lapangan terbang: SPRM panggil saksi minggu ini

Datuk Mohd Fauzi Mohamad
Datuk Mohd Fauzi Mohamad
A
A
A

IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil saksi-saksi mulai minggu ini membantu siasatan penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, mereka yang akan dipanggil terdiri daripada ahli-ahli lembaga mesyuarat melibatkan jabatan-jabatan berkaitan.

"SPRM telah mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan isu berkenaan dan akan mulai memanggil dan merakam percakapan saksi-saksi terlibat.

"Ia berdasarkan minit mesyuarat terbabit bagi mendapatkan penjelasan masing-masing berhubung isu tanah yang dipertikaikan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada 6 April lalu, SPRM telah memulakan siasatan berhubung penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar susulan laporan yang dibuat bekas exco kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi.

Siasatan ini dibuat bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Asmuni pada 5 April bersama tiga lagi bekas Exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How dan ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing hadir ke Pejabat SPRM Perak bagi mengemukakan aduan rasmi berhubung isu tersebut.

Howard Lee dalam sidang akhbar selepas itu menjelaskan tindakan tersebut dibuat bagi meminta siasatan lengkap dibuat terhadap isu tersebut memandangkan penjualan tanah dibuat tanpa melalui mesyuarat Exco seterusnya membersihkan nama PH.

Artikel Berkaitan:

Pemuda PH Perak juga turut membuat laporan polis bagi menggesa siasatan segera dilakukan ke atas penjualan tanah yang dicadang dibangunkan sebagai lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Ketua Pemuda PH negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, siasatan secara menyeluruh perlu agar mereka yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membuat laporan polis berhubung perkara itu dan memberi jaminan kerajaan negeri akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

Isu penjualan tanah lapangan terbang terbabit timbul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah berkenaan sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Bagaimanapun Saarani memaklumkan bahawa penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta bagi tujuan pembangunan bercampur di kawasan terbabit.