Skandal projek RM30j: Dua individu bebas reman

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan dua suspek termasuk pegawai kanan sebuah badan berkanun yang direman berhubung skandal projek melibatkan badan berkanun itu yang dianggarkan bernilai lebih RM30 juta.

Majistret Md. Bukhori Md. Roslan membenarkan pegawai kanan badan berkanun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala seorang lagi suspek dengan jaminan RM30,000 berserta seorang penjamin.

Sementara itu, seorang lagi pengarah syarikat teknologi maklumat (IT) yang direman berhubung kes sama sudah dibebaskan semalam dengan jaminan SPRM.

Pada Selasa lalu, ketiga-tiga suspek lelaki itu direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Media sebelum ini melaporkan suspek-suspek ditahan kira-kira pukul 11 pagi pada Isnin lalu di pejabat dan rumah mereka di sekitar Petaling Jaya, Selangor serta ibu negara.

Katanya, pegawai kanan berpangkat pengarah itu dikatakan telah bersubahat dengan dua syarikat IT terbabit bagi mendapatkan kelulusan menawarkan perkhidmatan perisian sijil diakui sah tanpa mengikut peraturan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya dua pengarah syarikat terbabit pula dipercayai telah mengaut keuntungan dengan melakukan perkhidmatan perisian tanpa mengikut peraturan SKMM.

Semalam, dua lagi suspek iaitu pegawai kanan SSM dan seorang pengarah syarikat perundingan IT juga direman lima hari sehingga 26 Mac ini membabitkan kes sama.

Artikel Berkaitan:

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009. - Bernama