Peniaga bazar Ramadan perlu jalani tempoh penilaian

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

DALAM minggu pertama Ramadan, Merak Jalanan sudah membaca beberapa laporan berita mengenai aduan orang ramai mengenai kualiti juadah yang dijual di bazar Ramadan.

Antara yang menarik perhatian ialah rungutan pengarah filem dan drama terkenal, Michael Ang yang kecewa apabila kuih koci yang dibeli di bazar Ramadan basi intinya.

Sehari sebelum itu, kuih buah melaka yang dibeli pula keras seperti batu menyebabkan Michael Ang serik dan tidak lagi mahu membeli juadah di bazar Ramadan.

Di Kuala Terengganu pula, dua beradik mengalami cirit-birit dan muntah selepas memakan puding buih dibeli ibunya di bazar Ramadan.

Dua beradik berusia tujuh dan sembilan tahun itu terpaksa dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dilaporkan semakin pulih.

Merak Jalanan juga ada mendengar rungutan rakan-rakan, makanan yang dibeli mereka tidak dimasak dengan sempurna, terlebih masin atau manis serta macam-macam lagi.

Ada juga juadah melibatkan ayam tidak dimasak dengan sempurna hingga boleh mengundang bakteria Salmonella yang diketahui umum boleh menyebabkan maut.

Oleh itu, Merak Jalanan setuju dengan cadangan netizen agar lain kali bazar Ramadan dibuka awal seminggu sebelum memasuki 1 Ramadan supaya pembeli dapat mengenal pasti gerai mana yang merupakan peniaga sejati dan peniaga mana yang sekadar mengambil kesempatan untuk mengaut untung berniaga.

Artikel Berkaitan:

Tempoh seminggu itu juga boleh diibaratkan sebagai ruang bagi pembeli untuk melakukan penilaian terhadap kualiti makanan yang dijual di bazar Ramadan.

Merak Jalanan juga yakin dengan cara itu, peniaga-peniaga lain yang merupakan peniaga yang jujur berniaga dan menjual juadah yang menepati selera pelanggan tidak terpalit dengan onar yang dibuat peniaga tidak bertanggungjawab itu.