Risiko krisis jika pengundian RUU Pindaan Perlembagaan dilaksana Isnin

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyarankan agar tiada pengundian terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan dijalankan pada Isnin selepas ia dibahaskan.

Ini kerana beliau berpendapat sukar untuk ahli-ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan atau pembangkang menyokong RUU Pindaan Perlembagaan tersebut yang memberi kuasa amat luas kepada kerajaan.

"Kalau hal itu (tidak mendapat majoriti) benar-benar berlaku, maka apakah implikasinya? Ia membawa makna kerajaan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob kalah di Parlimen dalam pengundian perkara penting berhubung dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

"Ini bukan kalah sebarang kalah. Kalah semacam ini membawa tafsiran Ismail Sabri hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat sekiranya jumlah undi yang menyokong RUU Pindaan Perlembagaan itu kurang daripada 112 sokongan.

"Jika itu yang akan terjadi esok (Isnin), maka suatu krisis Perlembagaan berlaku yang boleh membawa secara konvensyen Ismail Sabri wajar meletakkan jawatan dan terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihatkan baginda supaya membubarkan Parlimen di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, jalan penyelesaian yang munasabah untuk mengelakkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri mengalami kekalahan pengundian berturut-turut di Parlimen dalam tempoh tidak sampai sebulan ini ialah dengan membenarkan ahli-ahli Parlimen esok membahaskan dengan panjang lebar segala isu berkenaan Akta Anti Lompat Parti dan Pindaan Perlembagaan yang bersangkut paut dengannya.

"Ismail Sabri wajar mengumumkan satu tarikh terdekat dalam tempoh tidak sampai tiga minggu dari sekarang bahawa kerajaan berakujanji akan membentangkan RUU Anti Lompat Parti bersekali dengan RUU Pindaan Perlembagaan untuk bacaan kali kedua bagi dibahaskan dan diputuskan melalui pengundian.

"Pada jangkaan saya, waktu itu di pihak kerajaan dan semua ahli Parlimen sudah bersedia. Rasa-rasanya jalan penyelesaian ini boleh diterima oleh kebanyakan pihak di blok kerajaan dan di blok pembangkang.

Artikel Berkaitan:

Kedudukan Perdana Menteri lebih selamat daripada serangan dan gugatan Kluster Mahkamah, memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan Harapan (PH) boleh masuk fasa kedua dan pilihan raya umum boleh diadakan tahun hadapan.

"RUU Anti Lompat Parti juga lebih mudah diluluskan bersama-sama RUU Pindaan Perlembagaan selepas perbahasan panjang lebar dan proses penelitian yang terperinci dapat dilakukan," katanya.

Katanya lagi, suka atau tidak, pihak kerajaan dan pembangkang perlu menerima hakikat bahawa fikiran yang tenang, dada yang lapang serta tidak terburu-buru amat diperlukan dalam perkara penggubalan undang-undang Anti Lompat Parti yang berkait amat rapat dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, katanya ahli-ahli Parlimen berhak meneliti RUU Anti Lompat Parti terlebih dahulu sebelum bersetuju dengan sebarang pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan, terutama sekali yang melibatkan perkara asas kebebasan berpolitik rakyat termasuk kedudukan ahli-ahli Parlimen itu sendiri menyangkut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Ahli-ahli Parlimen berasa lebih selesa dan terjamin jika sebarang perkara asas berhubung tafsiran lompat parti dimasukkan ke dalam pindaan perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen, bukannya tafsiran lompat parti itu sekadar dimuatkan di dalam RUU Anti Lompat Parti yang merupakan akta biasa yang hanya memerlukan kelulusan majoriti mudah di Parlimen.

"Dalam bahasa yang mudah, ahli-ahli Parlimen tidak mahu memberi cek kosong kepada kerajaan yang memerintah," katanya