Sri Pahang dirundung malang lagi

Hidalgo (kanan) dicabar pemain PJ City dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur pada Sabtu. - Foto FB Sri Pahang FC
Hidalgo (kanan) dicabar pemain PJ City dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur pada Sabtu. - Foto FB Sri Pahang FC
A
A
A

BELUM reda kontroversi ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar minggu lalu, Sri Pahang FC sekali lagi dirundung malang susulan mutu pengadilan.

Kali ini, ketika berdepan PJ City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu yang menyaksikan Sri Pahang terpaksa akur mengutip satu mata selepas seri 1-1.

Pada awalnya, skuad Tok Gajah itu tampak berpeluang cerah mencipta kemenangan selepas memperoleh gol menerusi jaringan cantik pemain import dari Argentina, Manuel Hidalgo pada minit ke-38.

Bagaimanapun, impian Sri Pahang berkecai apabila PJ City berjaya menyamakan kedudukan hasil rembatan voli jarak jauh pemain gantian, R Barathkumar pada minit ke-86.

Gol itu mencetuskan kontroversi apabila pengadil mengesahkan jaringan tersebut biarpun penyerang PJ City, Khyril Muhymeen Zambri didakwa berada dalam kedudukan ofsaid.

Pengendali Sri Pahang, Christophe Gamel berkata, gol penyamaan PJ City itu telah menyebabkan misi Tok Gajah mengutip tiga mata berharga tidak kesampaian.

Christophe Gamel
Christophe Gamel

“Banyak peluang yang dimiliki untuk menambah jaringan tetapi gagal berbuat demikian. Walaupun kecewa dengan keputusan ini terutama jaringan penyamaan PJ City, saya tidak mahu mengulas lebih.

Artikel Berkaitan:

“Namun, saya tetap berbangga dengan komitmen semua pemain yang memberikan yang terbaik sepanjang tempoh 90 minit,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Penolong Jurulatih PJ City, P. Somasundran pula sudah menjangkakan tentangan sengit bakal dihadapi pasukannya ketika bertemu Sri Pahang.

“Apa pun kita sudah mencapai matlamat dengan membawa pulang satu mata. Dari segi permainan, kelihatan kita tidak begitu tersusun dan agak lambat untuk bertenang pada separuh masa pertama.

“Namun, pada babak kedua kita berjaya mengubah kepada aksi lebih meyakinkan, penuh semangat dan berdisiplin untuk menang,” jelasnya.