Liew Chin Tong Ketua Pembangkang baharu DUN Johor

Liew Chin Tong
Liew Chin Tong
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling yang juga Pengerusi DAP negeri Liew Chin Tong sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang baharu.

PH Johor dalam satu kenyataan menyebut surat pemakluman berhubung perkara itu dihantar ke Pejabat Jurutulis Negeri pada Ahad.

"Beliau akan menggembleng komitmen wakil rakyat blok pembangkang untuk memainkan peranan secara konstruktif dalam dewan demi kebaikan negeri Johor," menurut kenyataan itu di sini pada Ahad.

Kenyataan itu dikeluarkan Pengerusi Parti Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Timbalan Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching.

Dalam pada itu, PH Johor berharap reformasi DUN Johor dapat diteruskan antaranya mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang dan mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan.

Selain itu, melantik wakil rakyat pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negeri serta pemberian peruntukan sama rata kepada semua ADUN termasuk pembangkang. - Bernama

Artikel Berkaitan: