Lagi kondominium jadi pusat operasi judi online digempur

Antara yang ditahan polis.
Antara yang ditahan polis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan aktif pusat operasi sindiket perjudian online di tujuh unit kondominium mewah di Jalan Ampang sejak sebulan lalu, digempur polis malam tadi.

Serbuan kira-kira jam 9.30 malam tadi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang diketuai Asisten Komisioner Hamzah Buman.

Difahamkan, semua unit kondominium yang terletak di tingkat yang berlainan itu dipercayai mengendalikan transaksi pertaruhan yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit dalam sehari.

Menurut Hamzah, seramai 114 individu warga China termasuk 21 wanita berusia 20 hingga 55 tahun yang bekerja sebagai penyelia menguruskan transaksi pertaruhan menerusi laman web telah ditahan.

Antara yang ditahan polis.
Antara yang ditahan polis.

“Turut ditahan adalah enam lelaki disyaki pelanggan.

“Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM44,000 disyaki merupakan wang pertaruhan daripada keenam-enam lelaki terbabit," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi terbabit.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di tujuh unit kondominium berkenaan, polis telah menyita 63 buah komputer, 232 unit telefon pintar, 12 buah modem dan enam buku catitan judi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, pusat operasi berkenaan dipercayai mensasarkan warga China sebagai pelanggan untuk berjudi dan menjadikan tujuh unit kondominium yang disewa ini sebagai pusat pengoperasian.

Tambahnya, semakan mendapati warga China ini didapati masuk ke negara ini secara sah menggunakan pas lawatan sosial.

"Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 41c Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.