'Baru aku mengerti'

Ramai wanita New Zealand bukan beragama Islam memakai tudung semasa upacara memperingati mangsa serangan Christchurch di Hagley Park semalam. - Foto: AFP
A
A

CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND. Sejak Khamis lalu, imej pegawai polis wanita, Konstabel Michelle Evans yang bertudung dan lengkap bersenjata mengawal tanah perkuburan Memorial Park, tular di media sosial.

Imej berkenaan dikongsi secara meluas di platform media sosial.

Bukan setakat Michelle, malah majoriti wanita di New Zealand tampil memakai tudung sebagai tanda solidariti kepada masyarakat Islam susulan tragedi serangan pengganas di Christchurch.

Pelajar kolej, Kate Mills Workman, 19, berkata selama ini imej wanita bertudung tidak membawa sebarang erti baginya namun sejak tragedi Christchurch, dia semakin memahami 'pergelutan' dihadapi wanita Islam terutamanya di tengah-tengah peningkatan sentimen Islamofobia di Barat.

"Bagi saya, tudung melambangkan kekuatan, harga diri dan keberanian jutaan wanita Islam yang sebenarnya menjadikan mereka sasaran mudah jenayah kebencian sekali gus merisikokan keselamatan diri sendiri.

"Saya dapat menyelami perasaan mereka apabila memakainya (tudung)," katanya.

Kakitangan swasta, Mal Tuner pula berkata, pengalaman memakai tudung membolehkannya merasai perasaan sebagai seorang minoriti di negara berkenaan.

"Saya agak gementar untuk keluar ke tempat awam dengan bertudung dan saya faham perasaan mereka lebih-lebih lagi selepas serangan minggu lalu," katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Jacinda Ardern mendapat pujian ramai apabila tampil bertudung hitam ketika bertemu dengan komuniti Muslim selepas serangan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood. - Agensi