X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Subsidi kepada jemaah haji harus dilaksanakan secara bersasar

Subsidi kepada jemaah haji harus dilaksanakan secara bersasar kerana melibatkan perbelanjaan yang besar. -Foto AFP
A
A

SHAH ALAM – Subsidi kepada jemaah haji harus dilaksanakan secara bersasar kerana melibatkan perbelanjaan yang besar.

Ketua Penerangan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zakaria Abdul Hamid berkata,tumpuan harus diberikan kepada kepada jemaah haji yang datangnya dari golongan B40 dan kepada individu yang memerlukan sahaja.

Menurutnya, PBM tidak menolak atau mempertikaikan usaha murni kerajaan untuk memudahkan urusan para jemaah haji.

“Jika seseorang jemaah itu adalah daripada golongan T20 atau M40 yang mampu untuk melaksanakan ibadah haji tanpa sebarang bantuan daripada pihak kerajaan Malaysia, adalah lebih baik sekiranya mereka menggunakan wang mereka sendiri tanpa mendapat apa-apa subsidi daripada pihak kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad pada Jumaat memberi jaminan kemudahan subsidi bagi menunaikan ibadah haji diteruskan tahun ini, bagaimanapun kadar yang akan ditanggung masih belum diputuskan.

Idris berkata, beliau akan berbincang dengan Lembaga Tabung Haji (TH) mengenai kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah susulan jangkaan kos mengerjakan haji pada tahun ini meningkat kepada lebih RM25,000 ekoran kenaikan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan Arab Saudi.

Sementara itu, mengulas mengenai peningkatan kos tersebut, Zakaria berkata, jika kos untuk melaksanakan ibadah haji dikekalkan pada nilai RM9,980 bagi seorang jemaah, ini bermakna jumlah subsidi yang diberikan akan mencecah RM15,020 untuk setiap seorang, yang mana ini adalah jumlah yang amat besar.

“Jika kaedah subsidi bersasar ini diwujudkan, sudah tentu akan dapat mengurangkan impak yang ditanggung kerajaan Malaysia dan Lembaga Tabung Haji,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!