Lelaki Orang Asli ditemukan lemas

Mangsa ditemui lemas selepas keluar mandi di sungai berhampiran rumah- Gambar hiasan
Mangsa ditemui lemas selepas keluar mandi di sungai berhampiran rumah- Gambar hiasan
A
A
A

TAPAH - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki Orang Asli ditemukan lemas tersangkut pada akar pokok semasa mandi di Sungai Ulu Menderang, Sungkai dekat sini malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10 malam.

Beliau berkata, mangsa Ayunie Nasir, 24, yang mencari hasil hutan sebagai sumber pendapatan dipercayai mandi seorang diri di sungai kira-kira 500 meter dari rumah.

"Mangsa memberitahu ibunya untuk keluar mandi di sungai berkenaan kira-kira jam 8 malam dan keluar seorang diri dalam keadaan hujan lebat hanya memakai kain serta membawa lampu suluh.

"Kira-kira sejam kemudian, ibunya keluar mencari mangsa kerana masih belum pulang ke rumah. Ibunya meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari di tempat kebiasaan mangsa mandi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemukan tersangkut pada akar pokok kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan pada fizikal luaran mangsa mendapati tiada kesan luka atau cedera yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah utuk bedah siasat selepas selesai menjalani ujian Covid-19 bagi mengetahui punca kematian. - Bernama

Artikel Berkaitan: