Ketua AMK Perak tak pertahan jawatan

Dari kiri: Muhamad Alif, Mohamad Hairul
Dari kiri: Muhamad Alif, Mohamad Hairul
A
A
A

IPOH - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan Ketua AMK Cabang Kuala Kangsar pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun ini.

Menurutnya, tindakan itu dibuat bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk menerajui AMK Cabang Kuala Kangsar setelah memegang jawatan tersebut selama dua penggal sejak tahun 2014.

Beliau pada pemilihan kali ini juga akan ke peringkat lebih tinggi dengan menawarkan diri bertanding bagi jawatan Ketua PKR Cabang Kuala Kangsar.

"Saya sebenarnya ingin memberi ruang kepada pemimpin pelapis yang baharu supaya Keadilan Perak dapat membentuk serta melahirkan lebih ramai pemimpin muda.

"Harapan saya, pemilihan kali ini adalah seperti pertandingan adik-beradik. Dalam kita memilih jangan lupa untuk memulih. Pilihan raya sudah semakin hampir. Kita memerlukan pasukan yang kuat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bagi jawatan Ketua Cabang Kuala Kangsar, beliau menjangkakan menang tanpa bertanding kerana majoriti ahli PKR di cabang berkenaan tidak mahu sebarang pertandingan dan menyokongnya menjadi ketua cabang.

Jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Kangsar sebelum ini kosong selepas ditinggalkan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang beralih angin ke Selangor.

Dalam pada itu, Mohamad Hairul Amir berkata, kebanyakan AMK di peringkat cabang di Perak juga akan menerima ketua baharu memandangkan sebahagian mereka sudah melepasi usia untuk memegang jawatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Perak, Muhamad Alif Asyraf Abdull Rahim juga difahamkan membuat keputusan sama dengan tidak mempertahankan jawatan Ketua AMK Cabang Tanjung Malim.

Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula pada 8 hingga 10 April melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara yang menyaksikan proses pencalonan dilaksanakan secara dalam talian.

Selepas selesai proses pencalonan, senarai calon akan dipaparkan menerusi aplikasi dan laman sesawang ADIL sebelum tempoh bantahan dibuka selama dua hari iaitu pada 13 dan 14 April.

Ia diikuti pemakluman bantahan pada 15 April, manakala tempoh rayuan bermula 16 hingga 18 April sebelum senarai muktamad calon dipamerkan pada 19 April.

Proses pengundian akan dilaksanakan secara hibrid mulai 13 hingga 17 Mei bagi fizikal manakala pada 18 hingga 20 Mei pula untuk dalam talian.