Sistem FWCMS perlu dikaji semula: Papsma

Sistem FWCMS dianggap lapuk dan kerajaan disaran mengendalikan sendiri aplikasi khas pengambilan pekerja asing berbanding menyerahkannya kepada syarikat swasta. (Gambar kecil: Sukumaran)
Sistem FWCMS dianggap lapuk dan kerajaan disaran mengendalikan sendiri aplikasi khas pengambilan pekerja asing berbanding menyerahkannya kepada syarikat swasta. (Gambar kecil: Sukumaran)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aplikasi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) perlu diteliti dan dikaji semula penggunaannya oleh kerajaan susulan ia dianggap sudah lapuk dan menyukarkan usaha majikan untuk mendapatkan kelulusan kemasukan pekerja asing ke Malaysia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma), Dr N Sukumaran berkata, pihaknya turut menggesa kerajaan menyemak semula kontrak aplikasi digital dengan FWCMS susulan daripada 475,678 permohonan majikan untuk mendapatkan pekerja asing melalui sistem berkenaan, hanya 2,069 telah diluluskan sehingga kini.

Tambahnya lagi, syarikat-syarikat yang terlibat juga sehingga kini masih belum mendapat kelulusan untuk membayar levi pekerja asing.

"Majikan, pengilang, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seolah-olah sudah putus asa meskipun pihak kementerian berkaitan masih menunggu sistem ini beroperasi sepenuhnya.

"Lebih parah, sejak Januari tahun lalu, sistem FWCMS masih tidak memberikan hala tuju jelas berkaitan pengambilan pekerja asing atau berkaitan permohonan yang memenuhi keperluan industri dan majikan.

"Ini menunjukkan sistem itu tidak akan dapat memenuhi keperluan buruh di Malaysia. Sudah tiba masanya aplikasi sepenting ini dikendalikan oleh kerajaan sendiri dan bukannya pihak swasta," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) yang berharap aliran proses permohonan bagi mempercepatkan kelulusan dan kemasukan pekerja asing adalah lebih jelas dan konsisten.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, ini bertujuan menyokong keperluan tenaga kerja industri kerana sebarang kelewatan susulan dalam mendapatkan pekerja akan secara serius menghalang pertumbuhan industri dan perniagaan serta perjalanan dalam memulihkan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

FMM mengalu-alukan hakikat bahawa proses permohonan kini sepenuhnya secara dalam talian kerana ini akan memastikan proses permohonan yang lebih cekap dan telus dengan campur tangan manusia yang minimum.

Untuk rekod, permohonan pengambilan pekerja asing telah berpindah ke sistem FWCMS yang mana sebelum ini sistem itu hanya digunakan untuk permohonan visa dengan rujukan.

Mengulas lanjut, Sukumaran menegaskan Papsma turut berpendapat sistem dan aplikasi pengambilan pekerja asing harus dikendalikan kerajaan bagi mengelakkan penyalahgunaan maklumat peribadi, butiran syarikat, butiran bank peribadi atau pembocoran maklumat secara besar-besaran.

"Kerajaan harus memandang serius situasi pengambilan pekerja asing ketika ini berikutan kekurangan tenaga kerja yang menjejaskan semua industri dan sektor perniagaan dalam negara," ujarnya lagi.