Isteri TMJ ketuai penerima pingat, darjah kebesaran Johor

Sultan Ibrahim menganugerahkan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK I) kepada Che Puan Khaleeda pada istiadat berkenaan. - Foto: Ihsan FB The Royal Johor
Sultan Ibrahim menganugerahkan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK I) kepada Che Puan Khaleeda pada istiadat berkenaan. - Foto: Ihsan FB The Royal Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Isteri Tunku Mahkota Johor, Che Puan Khaleeda Bustamam mengetuai senarai 186 penerima pingat dan darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Istiadat yang diadakan di Istana Besar Johor itu turut menyaksikan Che Puan Khaleeda menjadi satu-satunya penerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK I).

Turut mendahului senarai, suami Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, Dennis Muhammad Abdullah yang menerima Darjah Paduka Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Dato’ Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, berkata seramai lima individu diperkenan menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang turut membawa gelaran Datuk.

Katanya, penerima DMIJ ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Md Rofiki A Shamsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Mohd Noorazam Osman.

"Turut menerima DMIJ ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Mohd Noh Ibrahim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dr Badrul Hisham Kassim dan Setiausaha Sulit Sultan Johor, Jaba Mohd Noah.

“Seramai 30 individu diperkenan menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim (SIJ), 19 penerima Pingat Kerana Lama Dan Baik Dalam Pekerjaan (PLP)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Kedua (PSI II) kepada 115 individu dan 15 lagi menerima Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Ketiga (PSI III).

Artikel Berkaitan:

Sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Sultan Johor bermula malam tadi dengan didahului Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Pasir Pelangi yang turut dihadiri keluarga Diraja Johor.