Covid-19: 10,124 kes baharu, 486 pesakit kategori tiga hingga lima

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah 486 kes pesakit daripada 10,124 kes baharu Covid-19 dimasukkan ke hospital pada Sabtu dengan 40.7 peratus dalam kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui kenyataan pada Ahad berkata, peratusan itu melibatkan sebanyak 198 kes manakala 288 kes atau 59.3 peratus yang dimasukkan ke hospital merupakan kategori satu dan dua.

Menurutnya, daripada 10,124 kes harian yang dilaporkan, sebanyak 5,767 kes (56.67 peratus) merupakan kategori satu manakala 4,347 kes dalam kategori dua dan 63 kes bagi kategori tiga, empat dan lima.

"Daripada 63 kes Covid-19 kategori kategori tiga, empat dan lima, 11 kes (16.67 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 22 kes (34.92 peratus ) telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak.

"Sebanyak 21 kes (33.3 peratus ) telah menerima dos penggalak, 20 kes (31.7 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi dan 38 kes (60.32 peratus ) berumur 60 tahun dan ke atas dan 35 kes (55.56 peratus) mempunyai komorbid," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Selangor merupakan satu-satunya negeri yang mencatatkan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) hospital melebihi 50 peratus iaitu sebanyak 58 peratus.

Tambah beliau, katil bukan ICU bagi hospital awam di Selangor turut menunjukkan peratusan pengisian tertinggi iaitu 51 peratus.

"Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun kepada 108 pesakit berbanding semalam dengan peratusan penggunaan ventilator sebanyak 12 peratus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau memaklumkan, sebanyak dua kluster baharu dikenal pasti menjadikan jumlah keseluruhan 6,949 kluster sejak pandemik melanda negara.

"Sejumlah 129 kluster masih aktif manakala 6,820 kluster telah tamat," katanya.