Himpunan solidariti di Dataran Merdeka berlangsung aman: Polis

Foto Sinar Harian oleh Zahid Izzani
Foto Sinar Harian oleh Zahid Izzani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perhimpunan aman solidariti yang bersandarkan konsep keamanan dan kedamaian, tanpa mengira anutan agama dan ideologi politik berlangsung aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ketua Polis Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, seramai 250 keanggotaan dari Ibu Pejabat Polis Dang Wangi bersiap-siaga sepanjang himpunan berlangsung.

Menurutnya, himpunan dihadiri seramai 600 peserta berpakaian putih ini mula berkumpul kira-kira jam 7.30 pagi dan telah berlangsung aman.

"Keadaan damai dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang himpunan. Peserta mula bersurai kira-kira jam 10 pagi.

"Pihak penganjur juga mematuhi peraturan dan arahan yang diberikan polis," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam perhimpunan solidariti hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengisytihar lima deklarasi bersempena Himpunan Kedamaian#Soladarity4Peace.

Antaranya adalah mengecam segala tindakan diskriminasi, perlakuan berbentuk keganasan serta pembunuhan atas nama kaum dan agama serta menolak dan mengutuk sebarang tindakan serta budaya kebencian atas nama kaum dan agama.

Deklarasi yang dikenali sebagai Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019, membawa mesej agar dunia perlu dipertahankan daripada budaya kebencian yang boleh membawa kepada tindakan keganasan.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan, pihaknya telah meluluskan penganjuran himpunan setelah pihak penganjur mematuhi prosedur yang ditetapkan.