Sifat pengarang dalam al-Quran

Seorang lelaki meluangkan masa dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran -Foto Bernama
Seorang lelaki meluangkan masa dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran -Foto Bernama
A
A
A

KINI kita sedang berada dalam bulan Ramadan yang penuh barakah dan kemuliaan. Dalam konteks itu, marilah kita sejenak merenung ayat-ayat suci al-Quran, yang ada hubungannya dengan dunia pengarang dan kepengarangan sebagai usaha untuk mendekatkan diri kita kepada-Nya.

Sebagai sumber utama tasyrik Islami, Jumhur Ulama bersetuju bahawa al-Quran mengandungi 6,236 ayat dan 114 buah surah, dan antaranya merakamkan beberapa keperihalan tentang subjek sastera.

Al-Quran lahir dalam masyarakat yang bertunjang kepada ketinggian seni sastera. Publiknya mengunjungi majlis dakwah Nabi SAW akur dengan keindahan ijaz dan terharu dengan isinya.

Bagaimanapun, tidak banyak ayat al-Quran yang berbicara khusus tentang sastera, hanya sekitar empat lima buah ayat sahaja, namun ia adalah subjek dasar sastera Islam. Kisah para rasul, nabi-nabi, manusia pilihan dan peristiwa sejarah masa silam, mengisi satu perempat al-Quran.

Sentuhan utamanya ialah tentang tanggapan dominan kaum Quraisy terhadap Nabi Muhammad SAW sebagai pengarang. Mereka menuduh junjungan menyalin dan mengarang semula al-Quran, justeru itu baginda digelar sebagai seorang pengarang. Apa yang dihidangkan baginda itu pula dikatakan sebagai asatir awwalin atau dongeng-dongeng purbakala, sedangkan mereka tahu baginda buta huruf dan tidak pandai membaca.

ALLAH menolak semua sangkaan itu. Nabi Muhammad SAW bukan pengarang, juga penyair. Baginda ialah rasul junjungan, al-Quran adalah sebuah kitab suci berisi peringatan dan kisah-kisah al-Quran adalah cerita benar dan hak untuk menjadi ibrah dan pengajaran.Baginda juga dihukum sebagai pengarang sihir. Al-Quran adalah hasilan sihir, justeru itu ia mempesonakan masyarakat Arab waktu itu. Meskipun orang-orang Quraisy tidak beriman dengan al-Quran, tetapi secara senyap-senyap amat gemar mendengar bacaan al-Quran.

Bahkan, mereka juga mengatakan, al-Quran itu dibawa oleh para syaitan. Syaitan itu membisikkan ilhamnya kepada pengantaranya kahin iaitu bomoh yang membacakan jampi serapahnya.

Dalam surah as-Syu’ara ayat 210-211, mafhumnya: “Al-Quran itu pula tidak sesekali dibawa turun oleh para syaitan. Malah para syaitan itu tidak layak melakukan demikian, mereka juga tidak akan dapat melakukannya.”

Artikel Berkaitan:

Dalam surah Yaasin ayat 69, ALLAH berfirman, mafhumnya: “Dan Kami tidak mengajarkan syair kepada Muhammad, dan bersyair itu tidaklah layak baginya. Al-Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan.”

ALLAH menyangkal prasangka masyarakat Arab terhadap al-Quran dan persepsi mereka terhadap Nabi Muhammad SAW di Makkah waktu itu.

ALLAH mencabar dengan meminta masyarakat Arab melahirkan sebuah kitab seperti al-Quran. Baik secara kolektif atau individu mereka gagal.

Al-Quran merakamkan sebuah surah khas kepada para pengarang iaitu surah as-Syu’ara yang mengandungi 227 buah ayat. Strukturnya pendek-pendek, mufassal, sesuai sebagai ayat Makkiyah. Bagaimanapun hanya empat buah ayat yang akhir sahaja iaitu ayat 224 hingga 227 yang menyentuh dunia kepengarangan. Ayat-ayat itu sering dibaca sebagai tazkirah. Maksudnya,“Penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang sesat. Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di setiap lembah. Dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mampu mengerjakannya kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut ALLAH dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman, dan kelak orang yang zalim itu mengetahui ke tempat mana mereka kembali.”

Dalam ayat tersebut, ALLAH menyebut perkataan al-ghawun dan yahimun. Al-Ghawun ialah orang-orang yang sesat, manakala yahimun merujuk kepada pengembaraan.

Menurut Ibnu Abbas, penyair itu sendiri adalah orang yang sesat dan ia diikuti oleh orang-orang yang sesat kerana berdampingan dengan para syaitan dan golongan pendusta.

Perkataan Yahimun, suka mengembara dan berkelana daripada satu lembah ke lembah dan berpindah-randah daripada sebuah kabilah kepada kabilah, mencipta syair bertemakan pujian al-madah, kebanggaan al-fakhru dan cacian al-hijak.

Ayat itu menjelaskan konsep pengarang Islam yang beriman, beramal soleh dan mengingati ALLAH sebanyak-banyaknya.

Ia beriman dengan akidah Islamiyah, mengerjakan syariat, berbuat kebajikan dan membudayakan akhlak tasawufnya. Jumhur ulama Ahli Sunnah Waljamaah bersetuju bahawa surah as-Syu’ara sangat relevan kepada semua pengarang untuk sepanjang zaman.

Larangan ALLAH dalam bersastera itu patut menjadi sempadan. Gesaan kepada pengarang mukmin patut menjadi teladan.

Ayat-ayat al-Quran itu jelas memberikan instinbat bahawa sastera menjadi pancaran orang muqarrabin dengan ilahi secara rohiyah dan badaniyah.

Tegasnya, seorang pengarang itu, wajib melakukan korban, pendekatan kepada Maha Berkuasa sebagai sebuah pengabdian.

Pengabdian kembali kepada fitrah kejadian manusia yang menyerah dan sujud ke hadrat ALLAH Azza wa Jalla.

Menurut Ibnu Abbas, pengarang itu sendiri dituntut banyak mengingati ALLAH dan istiqamah melakukan kebajikan, sementara karyanya berhikmah supaya khalayak melakukan amal makruf dan nahi mungkar serta berpegang dengan tasyrik Islami.

Demikianlah ayat-ayat suci al-Quran menggagaskan ciri-ciri dan sifat-sifat pengarang Muslim. Pengarang menjadikan dunia sasteranya sebagai wasilah pengabdian.

Semoga tazkirah kecil di bulan barakah ini dapat memberi sedikit kemanfaatan kepada pengarang dan kepengarangan sastera tanah air.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia