Perbicaraan 1MDB mesti disegerakan: Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta perbicaraan bagi kes penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disegerakan untuk memberikan keadilan kepada rakyat Malaysia.

Ia susulan daripada keputusan mahkamah di Amerika Syarikat pada Sabtu yang telah menjatuhi hukuman bersalah ke atas bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng kerana konspirasi menyeleweng jutaan dolar dana daripada 1MDB.

“Saya percaya mahkamah di negara kita juga akan memberikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam kes 1MDB yang masih dalam prosiding. Perbicaraan kes ini mesti disegerakan agar keadilan segera dicapai,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, pada Sabtu.

Keputusan perbicaraan Ng yang merupakan satu-satunya jurubank syarikat berkenaan yang dihadapkan ke mahkamah kerana melakukan penipuan tersebut telah diumumkan oleh Mahkamah di Brooklyn New York.

Ng dituduh mengambil sebanyak AS$35.1 juta (RM148 juta) sebagai balasan membantu ahli perniagaan dari Malaysia Low Taek Jho atau Jho Low yang telah mencuri sebanyak AS$2.7 bilion (RM11.4bilion) dari 1MDB.

Dia yang kini berusia 49 tahun didakwa dengan tiga pertuduhan melakukan konspirasi dan berdepan hukuman penjara selama 30 tahun.

Menurut Muhyiddin, Peguam Negara AS, Breon Peace menerusi kenyataannya dalam kes tersebut turut menyifatkan keputusan berkenaan sebagai kejayaan kepada rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, perbicaraan kes Ng juga telah mendedahkan bukti mengenai penyelewengan 1MDB yang melibatkan pegawai dan pemimpin utama kerajaan Malaysia pada ketika skandal tersebut berlaku.

Artikel Berkaitan: