Politik ekstremis tiada ruang di bumi Malaysia: Khalid

Khalid ketika berucap di himpunan Solidariti Kedamaian yang berlangsung di Dataran Merdeka, hari ini. Foto: SINAR HARIAN/ZAHID IZZANI
Khalid ketika berucap di himpunan Solidariti Kedamaian yang berlangsung di Dataran Merdeka, hari ini. Foto: SINAR HARIAN/ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Politik kemarahan, kebencian dan ketakutan tidak ada ruang di bumi Malaysia tegas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Menurutnya, orang Islam di seluruh dunia sering menjadi mangsa corak politik seumpama ini.

Hal demikian, Ahli Parlimen Shah Alam itu berharap rakyat di Malaysia menolak politik kemarahan, kebencian dan ketakutan sebaliknya, sentiasa bersatu membina negara yang dihuni pelbagai kaum dan agama.

"Orang Islam selalu jadi mangsa politik kebencian, politik ketakutan dan politik kemarahan, seperti mana tragedi berdarah yang berlaku di New Zealand.

"Politik seumpama itu tidak ada ruang di negara kita, saya seru rakyat Malaysia agar tidak menanam kebencian terhadap rakyat berbeza agama dan kaum yang lain, semuanya harus dihormati," katanya ketika berucap di himpunan Solidariti Kedamaian yang berlangsung di Dataran Merdeka, hari ini.

Dalam ketegangan itu, Khalid mengucapkan tahniah kepada New Zealand kerana menunjukkan reaksi positif dan bijak mengawal suasana.

"Muka depan akhbar New Zealand semalam menulis salam dalam bahasa Arab yang membawa maksud perpaduan dan keamanan diharapkan meredakan konflik yang berlaku.

"Jangan sesekali kita tunduk kepada kehendak pengganas warga Australia itu yang mahukan kita berperang antara satu sama lain dengan menyebarkan risalah kebencian," ujar Khalid.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu,Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pula menyifatkan kedamaian adalah punca kepada kehidupan.

Ini kerana menurutnya, kedamaian itu hanya dapat terjemahkan apabila terdapatnya kesatuan hati.

"Kita inginkan kedamaian. Apabila seseorang itu cenderung kepada kedamaian, maka kamu perlu hulurkannya.

"Kedamaian adalah punca kepada kehidupan. Kedamaian dapat kita terjemahkan apabila ada kesatuan hati, " katanya.