'Saya tak boleh komen kes Bella' - Ras Adiba

Ras Adiba
Ras Adiba
A
A
A

KUALA LUMPUR - Senator Datuk Ras Adiba Radzi pada Sabtu berkata beliau tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes mahkamah membabitkan seorang remaja sindrom down yang dikenali sebagai Bella.

Ras Adiba, yang mewakili komuniti orang kurang upaya (OKU) di Dewan Negara, berkata beliau telah mengikuti kes itu secara dekat walaupun secara peribadinya tidak dapat hadir ke perbicaraan tersebut kerana prosedur operasi standard Covid-19 ketika ini mengehadkan kehadiran pihak tidak berkaitan.

"Bagaimanapun, memandangkan kes ini sedang berjalan, saya telah menerima nasihat dari segi perundangan bahawa saya tidak seharusnya membuat sebarang kenyataan berkaitan kes itu kerana ia mungkin boleh mengganggu proses undang-undang.

"Sehubungan itu, saya mendapati adalah tidak adil apabila kenyataan yang dibuat seorang individu yang mengatakan beliau berjuang untuk Bella, terutama apabila mendakwa bahawa saya tidak mengambil peduli atau saya tidak hadir ke mahkamah semasa perbicaraan kes Bella sedang dijalankan,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Presiden OKU Sentral itu juga berkata,beliau sedia membantu sesiapa sahaja dalam komuniti OKU dan berkhidmat demi kepentingan mereka serta menjelaskan isu yang akan menambah baik hak-hak golongan itu.

Ras Adiba, yang juga Pengerusi Bernama, turut menafikan dakwaan seorang individu bahawa agensi berita nasional itu mengawal media dan justeru, kes Bella tidak dilaporkan oleh media lain.

"Kami melaporkan berita sebaik yang boleh. Tetapi kami tidak ada kawalan ke atas media-media yang lain. Ini adalah masa yang sukar untuk kesemua yang terlibat, dan kebimbangan saya tentu sekali adalah bagaimana untuk melindungi anggota masyarakat OKU kita.

"Imej-imej yang kita lihat bagaimana Bella diperlakukan amat menyedihkan dan seperti semua dan komuniti OKU juga, mahukan jawapan dan keadilan harus ditegakkan... Bella adalah seorang kanak-kanak yang istimewa, beliau perlu dilindungi, kita perlu memastikan bahawa kes seperti ini tidak lagi berlaku di negara kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ras Adiba berkata, beliau percaya kepada proses undang-undang Malaysia dan selagi kes masih dibicarakan, beliau tidak akan membuat komen secara spesifik berkaitan kes tersebut.

Beliau turut berterima kasih kepada Persatuan Sindrom Down yang telah menyuarakan pandangan mereka berkaitan isu itu, aktivis, sukarelawan, agensi kerajaan dan pengamal media yang telah dan akan terus melaporkan kes itu.

"Sebagai Senator untuk golongan OKU, pintu saya sentiasa terbuka dan saya telah mempelawa semua pihak berkepentingan untuk bertemu, supaya saya dapat memantau perkembangan semasa.

"Justeru marilah kita sama-sama berdoa untuk yang terbaik, dan berdoa demi keadilan dan kebenaran untuk Bella,” katanya.

Kes Bella tular di media sosial tahun lepas selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.

Susulan itu, pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan. - Bernama