Bank Islam kongsi rezeki Ramadan di Kedah

Mohd Muazzam (tiga,kanan) menyerahkan sumbangan kepada penduduk sempena Program Bubur Lambuk Amal Ihtimam Ramadan dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengurusan Masjid di Masjid Zahir, pada Jumaat. (Gambar kecil: Roshidah, Rohani)
Mohd Muazzam (tiga,kanan) menyerahkan sumbangan kepada penduduk sempena Program Bubur Lambuk Amal Ihtimam Ramadan dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengurusan Masjid di Masjid Zahir, pada Jumaat. (Gambar kecil: Roshidah, Rohani)
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) memperuntukkan sumbangan sebanyak RM25,000 untuk diagihkan kepada 100 asnaf di Alor Setar bagi membantu mereka menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal dalam Program Amal Ihtimam Ramadan, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, sumbangan itu melibatkan penyampaian wang zakat sebanyak RM200 dan sumbangan barangan keperluan asas bernilai RM50 setiap seorang.

Mohd Muazzam berkata, program Amal Ihtimam bukan sahaja untuk mengimarahkan sambutan bulan Ramadan malah sebagai cara mereka mendekati masyarakat khususnya golongan memerlukan.

"Bagi menikmati keberkatan bulan Ramadan, program ini merupakan wadah bagi BIMB untuk menyantuni masyarakat.

"Ia selari peranan kami sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang mengutamakan kesejahteraan pelanggan dan komuniti sejak hari pertama penubuhan BIMB," katanya sempena Program Bubur Lambuk Amal Ihtimam Ramadan dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengurusan Masjid di Masjid Zahir, pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Zahir, Datuk Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim.

Katanya, BIMB turut menyalurkan sumbangan wang zakat sebanyak RM5,000 kepada pihak Masjid Zahir untuk manfaat jemaah dan komuniti setempat serta memperuntukkan RM45,000 untuk program bubur lambuk di Kedah.

"Melalui program ini, kami berjaya mengedarkan lebih 1,000 pek bubur lambuk secara percuma kepada orang awam dan petugas barisan hadapan di sekitar Alor Setar bagi mengimarahkan sambutan Ramadan tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Gotong-royong penyediaan bubur lambuk bermula pada jam 10.00 pagi di masjid berkenaan manakala pengagihannya bermula jam 4.30 petang. Sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk diagihkan," katanya.

Menurutnya, antara komuniti disantuni termasuk pemandu bas dan teksi di Terminal Bas dan Teksi Shahab Perdana; petugas barisan hadapan di Penjara Alor Setar, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar serta pengunjung di bazar Ramadan sekitar Alor Setar.

Turut diadakan, majlis berbuka puasa yang dihadiri kira-kira 250 tetamu termasuk ahli kariah Masjid Zahir dan penerima sumbangan.

Menurut Mohd Muazzam, selain program di Kedah, BIMB menyantuni 500 lagi penerima zakat di seluruh negara dengan peruntukan dana sumbangan zakat sebanyak RM100,000 bersempena program Amal Ihtimam Ramadan tahun ini.

Beliau berkata, setiap asnaf yang dikenal pasti menerima wang zakat RM200 bagi membantu persediaan menyambut Aidilfitri.

Sementara itu, seorang penerima, Roshidah Abdul,70, dari Limbong Kapal berkata, dia bersyukur menerima rezeki tidak disangka-sangka pada bulan Ramadan kali ini.

"Sumbangan ini amat bermakna dan saya dapat buat persediaan berbuka puasa serta meraikan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Menurut suri rumah, Rohani Harun,68, pula, dia berterima kasih kepada Bank Islam dan Masjid Zahir atas sumbangan itu.

"Saya rancang hendak guna wang sumbangan untuk membuat persediaan hari raya seperti membeli kuih dan baju," katanya.