Pengerusi PAC perlu berundur

WAN FAUZULDIN
A
A

KUANTAN - Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Ronald Kiandee perlu umumkan perletakan jawatannya segera.

Naib Ketua Cabang PKR Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, ini kerana Ronald bukan lagi mewakili pembangkang selepas beliau membuat keputusan untuk menyertai Parti Bersatu.

Menurutnya, justeru, Ronald perlu patuh dan hormati manifesto PH yang mengariskan Pengerusi PAC harus diwakili oleh pembangkang

“Beliau (Ronald) perlu umumkan perletakan jawatannya segera atau beliau umumkan keluar dari PH untuk kembali menjadi pembangkang sekiranya terlalu sayang dengan jawatan itu.

“Kita mahu perubahan dan ketelusan. Tapi apabila beliau mengumumkan kemasukannya ke dalam Parti Bersatu, ertinya beliau kini bukan lagi pembangkang.

“Jadi, secara automatiknya beliau bukan lagi Pengerusi PAC sehingga kerajaan melantik anggota pembangkang yang baharu,” katanya dalam ketika dihubungi, hari ini.

Isu jawatan Pengerusi PAC timbul apabila Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran, menjadi salah seorang daripada wakil rakyat Sabah yang meninggalkan Umno dan menyertai Parti Bersatu.

Perdana Menteri kemudian dilaporkan berkata, Ronald tidak perlu meletak jawatan sebagai Pengerusi PAC walaupun jawatan itu adalah untuk Ahli Parlimen pembangkang kerana ia tidak membabitkan dasar dalam kerajaan dan sebahagian daripada perlembagaan.

Sebelum ini, pembangkang sebulat suara menamakan Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Noraini Ahmad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baharu.

Wan Fauzuldin mengulas, sewaktu Ronald dilantik sebagai Pengerusi PAC, semua telah bersetuju kerana sudah termaktub dalam menifesto PH bahawa jawatan terbabit mesti dari pembangkang.

Jelasnya, manifesto PH bukan setakat berhenti dengan perlantikan Ronald, sebaliknya manifesto itu wajar dipatuhi kerana ia sudah menjadi dasar kerajaan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia