Sila log masuk terlebih dahulu.

Dakwaan pengguna lebuh raya perlu bayar tol selama-lamanya tidak wujud

Pada 4 April lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kerajaan untuk mengekalkan kadar tol di empat lebuh raya sehingga tempoh konsesi syarikat berakhir. - Gambar hiasan
Pada 4 April lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kerajaan untuk mengekalkan kadar tol di empat lebuh raya sehingga tempoh konsesi syarikat berakhir. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan kemungkinan pengguna lebuh raya akan membayar tol selama-lamanya berikutan penstrukturan empat syarikat dan pelanjutan tempoh konsesi tidak wujud sama sekali, menurut Kementerian Kerja Raya (KKR).

KKR dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan syarikat konsesi tidak boleh menambah hutang baharu sewenang-wenangnya dan ketetapan itu termaktub dalam Perjanjian Baharu melibatkan penstrukturan empat syarikat konsesi baru-baru ini.

"Kerajaan sentiasa akan memastikan bahawa kepentingan pengguna sentiasa terjamin dan tidak terbeban.

"Sekiranya penstrukturan ini tidak dibenarkan dan sekiranya kerajaan ingin menjimatkan pampasan maka kenaikan kadar tol perlu diberikan dan ini akan menyebabkan implikasi rantaian yang akan menyebabkan kos barangan juga akan meningkat," menurut kenyataan itu.

Pada 4 April lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kerajaan untuk mengekalkan kadar tol di empat lebuh raya sehingga tempoh konsesi syarikat berakhir.

Empat syarikat konsesi lebuh raya itu ialah Kesas Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat atau SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Lebuhraya Damansara-Puchong atau LDP).

Dalam kenyataan sama, KKR turut memberi pencerahan mengenai dakwaan pemberian kos tetap bagi pembinaan dan penyenggaraan lebuh raya itu dan lanjutan tempoh konsesi yang membebankan pengguna.

"Ini satu kenyataan yang salah dan memesong rakyat. Kerajaan tidak pernah membayar atau memberikan peruntukan dalam bentuk kos tetap untuk pembinaan mahupun penyenggaraan lebuh raya berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Pembinaan telah dibuat menggunakan dana yang diperoleh oleh syarikat konsesi melalui pinjaman atau penerbitan sukuk yang perlu dibayar balik melalui kutipan tol manakala kos bagi operasi dan penyenggaraan ditampung melalui kutipan tol,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan lanjutan tempoh konsesi diberikan hanya sebagai sesuatu yang indikatif bagi memberi pemegang sukuk satu kelegaan bahawa pelaburan mereka akan dibayar balik.

"Tarikh tamat terawal adalah enam tahun lagi iaitu 2028 bagi KESAS, lapan tahun iaitu 2030 bagi LDP, 12 tahun iaitu 2034 bagi SPRINT dan 20 tahun iaitu 2042 bagi SMART. Ini yang termaktub dalam Perjanjian Konsesi sedia ada. Dalam penstrukturan ini lanjutan diberikan adalah tidak eksklusif,” katanya.

KKR menjelaskan dengan penstrukturan itu kadar tol akan tetap bagi tempoh selanjutnya, malah kerajaan boleh menamatkan tempoh konsesi pada bila-bila masa tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan dan sekurang-kurangnya dapat mengelak kenaikan harga barang akibat kenaikan kadar tol.

Kenyataan itu turut menjelaskan dakwaan Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) yang mengambil alih aset lebuh raya bernilai lebih RM5 bilion bermodalkan RM5,000.

"Peranan ALR ini hanya sebagai penjaga keempat-empat lebuh raya berkenaan. Bakal pelabur sukuk memerlukan keyakinan untuk melabur dan oleh demikian, ALR terdiri daripada tokoh korporat yang tidak berkait dengan mana-mana parti politik.

"Ini yang membolehkan ALR yang bermodalkan hanya RM5,000 mampu menjadi ‘penjaga’ bagi keempat-empat lebuh raya berkenaan. Selain itu, oleh kerana pemegang saham asal telah tiada lagi dan oleh kerana ALR adalah bukan keuntungan maka tiada sebarang pembayaran dividen diperlukan dan ini membolehkan kadar tol dikekalkan pada kadar sedia ada dan peruntukan tambahan melalui kenaikan tol tidak diperlukan,” katanya. - Bernama