Minta pengusaha pelancongan ambil iktibar kes penyelam hilang

Nancy ketika sidang media selepas merasmikan KUL Art Airport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, pada Sabtu.
Nancy ketika sidang media selepas merasmikan KUL Art Airport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, pada Sabtu.
A
A
A

SEPANG - Pengusaha pelancongan di dalam negara ini diminta mengambil pengajaran terhadap kejadian penyelam hilang yang berlaku di Pulau Tokong Sanggol di Mersing, baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kejadian itu diharap mengingatkan pengusaha pelancongan supaya memperbaiki dan menangani kelemahan dalam perkhidmatan mereka.

“Adalah tanggungjawab untuk memastikan keselamatan mereka yang terlibat dalam aktiviti pelancongan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan KUL Art Airport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada Sabtu.

Pada Rabu, empat pelancong didapati hilang ketika membuat latihan selaman di pulau berkenaan kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, Mersing di Johor.

Setakat pagi Sabtu, tiga daripada mangsa berjaya dijumpai dalam keadaan selamat manakala seorang lagi masih belum ditemui.

Tiga mangsa yang ditemui ialah lelaki warga Britain, Adrian Peter Chester, 46; wanita Perancis, Alexandra Molina, 18 dan wanita warga Norway dikenali sebagai Kristine Grodem, 35.

Seorang lagi mangsa yang belum dijumpai ialah warga Britain, Nathen Renze, 14, iaitu anak kepada salah seorang mangsa yang ditemui.

Tambah Nancy, kes tersebut adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri dan pihak penguat kuasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai isu amalan penyediaan makanan tidak menepati standard yang dikesan di beberapa hotel di dalam negara, Nancy berkata, semua pengusaha hotel diminta supaya memastikan premis mereka dalam keadaan bersih.

“Kita mahu premis selamat dan bersih supaya pelancong akan datang beramai-ramai ke negara kita. Bukan sahaja pelancong dari luar malah dari dalam negara,” katanya.