Aquarobik senaman yang lebih selamat

Peserta di dalam air mengikut gerakan instruktor secara dinamik bersama rentak muzik dimainkan di kolam renang Hotel TH, di sini.
Peserta di dalam air mengikut gerakan instruktor secara dinamik bersama rentak muzik dimainkan di kolam renang Hotel TH, di sini.
A
A
A

KUALA NERUS - Selain keseronokan dan dapat untuk mengurangkan tekanan, aquarobik dapat memberikan 'nyawa' baharu kepada individu mempunyai masalah berat badan, diabetes, sakit lutut dan pinggang.

Instruktor aquarobik atau aqua fitness, Hasimah Mohamed Salleh, 48, berkata, ini kerana golongan itu sememangnya tidak digalakkan untuk melakukan aerobik atau bersenam berat di gimnasium.

Menurutnya, daya apungan air dapat mengurangkan berat badan kita dan membolehkan tubuh kita terapung seterusnya tekanan ke atas kaki untuk memijak lantai menjadi berkurangan.

"Bagaimanapun, kelikatan air memberi rintangan hingga memaksa otot teras bekerja keras untuk bergerak. Rintangan ini jugalah yang membuatkan pergerakan menjadi perlahan tapi berkesan.

"Disebabkan itu, senaman ini sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah berat badan, diabetes, sakit sendi dan pinggang malah ibu yang mengandung juga," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sebagai instruktor, Hasimah lebih dikenali sebagai Cikgu Shima itu akan berada di atas tebing kolam renang manakala peserta di dalam air mengikut gerakannya secara dinamik bersama rentak muzik dimainkan.

Setiap tarian mengikut kreativiti Instruktor atau jurulatih aquarobik dan dilakukan secara perlahan disebabkan tekanan air yang memberi impak kepada pergerakan.

Namun halangan inilah memberi kebaikan kepada tubuh, selain membantu meningkatkan stamina dan kekuatan otot kerana di dalam air, jumlah pembakaran kalori meningkat berbanding senamrobik biasa.

Artikel Berkaitan:

“Aquarobik boleh diibaratkan gimnasium dalam air dan tidak menggunakan peralatan, sebaliknya otot sebagai bebanan. Ia bagus untuk kecergasan otot teras kerana membabitkan pergerakan kaki dan tangan.

“Hayunan tangan dalam setiap langkah memberi kesan kepada kekuatan otot kerana secara asasnya, jika senaman ini dilakukan dengan betul dan bersungguh ia lebih baik dari senaman lain," katanya.