Umum segera subsidi haji

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan melalui Tabung Haji (TH) perlu menyatakan segera kadar subsidi yang diperuntukkan kepada jemaah haji berikutan laporan peningkatan kos haji tahun ini.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan jumlah kuota haji yang diperuntukkan kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia seperti yang dimaklumkan sebelum Ramadan.

"Kos mengerjakan haji dinyatakan meningkat lebih RM25,000, menunjukkan peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding tahun 2019 iaitu RM22,000.

"Namun begitu subsidi telah diberikan oleh kerajaan, maka jemaah haji hanya perlu membayar sebanyak RM9,980.

"Kerajaan digesa untuk menyatakan adakah kadar bayaran sebanyak RM9,980 dikenakan pada tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, kerajaan Arab Saudi membenarkan seramai sejuta umat Islam di bawah usia 65 tahun dari dalam dan luar negara itu menunaikan haji pada tahun ini.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memaklumkan, jumlah maksimum itu dibuat bagi memelihara keselamatan jemaah serta pengunjung Masjid Nabawi susulan pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan berkaitan, Salahuddin turut mencadangkan agar kerajaan mengutamakan jemaah haji yang belum pernah menunaikan haji bagi memenuhi kuota yang diperuntukan nanti.

Artikel Berkaitan: