Usaha mengesan mangsa masih hilang libatkan Indonesia: MB Johor

Onn Hafiz (tengah) ketika ditemui pemberita selepas melawat dua mangsa di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang, pada Sabtu.
Onn Hafiz (tengah) ketika ditemui pemberita selepas melawat dua mangsa di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang, pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan negeri Johor akan bekerjasama dengan Indonesia bagi membantu mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang ketika melakukan latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, pada Rabu.

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat kini ditumpukan kepada seorang lagi mangsa iaitu remaja lelaki berusia 14 tahun yang juga anak kepada warga Britain yang ditemui, Nathan Chester.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya akan mendapatkan sebanyak mungkin bantuan daripada pelbagai pihak untuk mengesan mangsa.

“Memandangkan ini merupakan isu antarabangsa, jadi semua yang berada di kawasan itu sama ada Indonesia dan Malaysia perlu bekerjasama untuk menyelamatkan serta menjumpai mangsa keempat ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat dua mangsa yang sudah ditemui di sebuah hospital swasta di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan dua warga Eropah daripada tiga yang masih hilang selepas melakukan latihan selaman itu ditemui selamat kira-kira jam 1 pagi pada Sabtu.

Seorang lelaki Britain dikenali sebagai Adrian Peter Chester, 46 dan wanita Perancis, Alexandra Molina, 18 ditemui oleh nelayan tempatan di perairan Selatan Pengerang, Kota Tinggi berhampiran perairan Indonesia.

Ini bermakna tiga daripada empat mangsa setakat ini telah ditemui selepas mangsa pertama iaitu seorang wanita warga Norway, Kristine Grodem, 35, diselamatkan pada Khamis.

Sementara itu, Onn Hafiz memaklumkan, kerajaan Johor membiayai kesemua kos rawatan mangsa terselamat yang kini menerima rawatan di hospital berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah mereka dalam keadaan separa sedar dan sedang pulih. Doktor sedang buat yang terbaik untuk pastikan mereka cepat pulih," katanya.