Selepas Anning, giliran Sam Newman terima 'berbakul' kecaman

Sam Newman
Sam Newman
A
A
A

SYDNEY - AUSTRALIA. Seorang personaliti media Australia menerima kecaman teruk daripada netizen selepas mengejek loghat Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

Pengacara Footy Show, Sam Newman yang juga merupakan bekas pemain bola sepak Aussie Rules menyifatkan loghat Ardern sukar difahami dan bersyukur pemimpin tersebut tidak menyebut nama pengganas yang membunuh 50 orang di negara itu.

Awal minggu ini, Ardern menyempurnakan pembukaan sesi Parlimen dengan ucapan ‘Assalamualaikum’ selain berikrar untuk tidak lagi menyebut nama pengganas yang menyerang dua masjid di Christchurch.

"Syukurlah...Perdana Menteri NZ tidak lagi menyebut nama pengganas terbabit. Bayangkan bunyi sebutan (nama pengganas) dengan loghat beliau," tulis Newman di Twitter.

Kenyataan itu mengundang kemarahan netizen terutamanya di New Zealand yang menganggap komen Newman sebagai menghina dan berbaur seksis.

Malah, netizen mempertahankan Ardern dengan memujinya sebagai pemimpin 'top' dan menganggap Newman sekadar mahu meraih publisiti murahan.

Berikut antara komen netizen:

"Ardern memainkan peranannya dengan baik ketika negara diuji dengan tragedi besar dan kamu Sam cuba memperkecilkan-kecilkan PM kami.

Artikel Berkaitan:

"Oh Sam, kamu benar-benar inginkan perhatian, kesian dan amat menyedihkan.

"50 orang terbunuh dan kamu bingung memikirkan loghat PM kami, biar betul?

"Jaga-jaga dengan telur 'terbang' Sam."

Ini bukanlah kali pertama Newman mengeluarkan kenyataan kontroversi kerana tahun lalu dia memuat naik kenyataan berbaur perkauman terhadap masyarakat Islam.

Newman berkata, penduduk Australia tidak berkongsi kepentingan yang sama dengan masyarakat beragama Islam di negara tersebut.

Dia membuat kenyataan itu sebagai reaksi selepas dua pemain bola sepak beragama Islam saling berpelukan bagi menunjukkan solidariti sebelum permainan bermula pada minggu lalu.

Kedua-dua pemain tersebut dari pasukan berbeza.

Minggu lalu, Senator Australia, Fraser Anning dibaling telur oleh seorang remaja William Connolly atau digelar Egg Boy selepas menyalahkan program imigresen dan Islam sebagai punca serangan pengganas di Christchurch. - Agensi