Sila log masuk terlebih dahulu.

Sekolah agama terbakar, naskhah al-Quran selamat

Ibrahim menunjukkan keadaan ruang pejabat sekolah yang musnah dalam kebakaran di aras satu bangunan pada Jumaat. Gambar kecil: Khairiyah menunjukkan naskhah tafsir dan al-Quran yang masih sempurna dalam kebakaran di aras satu bangunan pada Jumaat.
Ibrahim menunjukkan keadaan ruang pejabat sekolah yang musnah dalam kebakaran di aras satu bangunan pada Jumaat. Gambar kecil: Khairiyah menunjukkan naskhah tafsir dan al-Quran yang masih sempurna dalam kebakaran di aras satu bangunan pada Jumaat.
A
A
A

TAPAH - [DIKEMAS KINI] Naskhah al-Quran dan tafsir ditemukan masih sempurna dalam kebakaran sebuah bangunan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al Rahmaniah di Kampung Datok di sini pada Jumaat.

Kesemua 50 naskhah yang ditempatkan di pusat sumber aras satu bangunan itu berada dalam keadaan baik meskipun bilik berkenaan terbakar.

Kejadian sekitar jam 10.30 malam itu turut mengakibatkan ruang pejabat musnah manakala tandas, bilik mesyuarat dan kelas masing-masing mengalami kerosakan lebih 40 peratus di bahagian bumbung dan tingkap.

Guru Besar SRAR Al Rahmaniah, Khairiyah Othman berkata, pusat sumber itu turut menempatkan buku-buku agama yang dijadikan rujukan mengajar, namun hanya al-Quran yang terselamat.

"Pagi tadi (Sabtu) ketika saya datang meninjau, terkejut juga bila nampak semua naskhah al-Quran dan tafsir masih elok tersusun dalam rak, tidak ada kerosakan langsung.

"Naskhah ini ada yang lama dan baru, memang diletakkan di sini sebagai bahan mengajar dan bacaan serta rujukan kepada guru dan murid," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, kebakaran itu disedari awal penduduk kampung yang kemudiannya segera menghubungi bomba.

Katanya, tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan bahagian-bahagian lain daripada musnah keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

"Ruang pejabat memang hangus, semua dokumen sekolah, data murid dan komputer musnah, tiada satu pun berjaya diselamatkan," katanya.

Dokumen penting sekolah dan data murid yang ditempatkan di ruang pejabat turut musnah dalam kebakaran di aras satu bangunan pada Jumaat.
Dokumen penting sekolah dan data murid yang ditempatkan di ruang pejabat turut musnah dalam kebakaran di aras satu bangunan pada Jumaat.

Pengerusi Jemaah SRAR Al Rahmaniah, Ibrahim Md Isa berkata, sekolah yang dibina pada tahun 1987 dan menempatkan 423 murid itu baru sahaja memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka pada 21 Mac lepas.

Jelasnya, buat masa ini hanya satu kelas yang digunakan murid tahun enam terjejas, manakala 16 kelas lain masih boleh digunakan.

"Kami akan mendapatkan jaminan dan saranan daripada pihak berkuasa dahulu seperti bomba, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sama ada boleh meneruskan sesi pembelajaran atau tidak.

"Kalau ikutkan keselamatan murid, mungkin elok ditutup sementara waktu sehingga keadaan benar-benar selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Nadzri Che Nordin berkata, seramai 22 anggota dari Balai Bomba Tapah dan bantuan Balai Bidor dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11.06 malam.

Katanya, kebakaran melibatkan aras satu bangunan sekolah yang menempatkan pejabat, pusat sumber, kelas, tandas dan bilik mesyuarat.

"Siasatan awal mendapati, kebakaran bermula dari ruang pejabat sebelum merebak ke bilik berhampiran, bagaimanapun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

"Pihak sekolah telah disarankan untuk membuat pemeriksaan pendawaian terlebih dahulu dan dapatkan nasihat daripada JKR berhubung struktur bangunan sebelum memulakan kembali operasi," katanya.