Kerajaan Johor biayai kos rawatan penyelam warga Eropah

Onn Hafiz (tengah) ketika melawat dua mangsa yang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang pada Sabtu.
Onn Hafiz (tengah) ketika melawat dua mangsa yang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Negeri Johor akan membiayai kos rawatan penyelam warga Eropah yang ditemui selamat selepas hilang ketika melakukan latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing pada Rabu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi laman sosial Facebooknya selepas dua lagi mangsa ditemui dalam keadaan selamat awal pagi Sabtu.

“Dua lagi mangsa yang hilang telah dijumpai. Mereka ditemukan dalam keadaan selamat tetapi lemah dan terus dihantar ke hospital.

“Bagi meringankan beban yang dihadapi oleh mereka, Insya-ALLAH kos rawatannya akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri Johor

“Sehingga kini seorang lagi mangsa masih belum ditemui. Sama-sama kita doakan agar mangsa yang terakhir dapat ditemui dalam masa terdekat ini,” katanya menerusi kenyataan itu.

Sebelum ini, media melaporkan dua daripada tiga warga Eropah yang masih hilang ditemui selamat kira-kira jam 1 pagi pada Sabtu.

Mangsa, lelaki Britain dikenali Adrian Peter Chester, 46, dan wanita Perancis, Alexandra Molina, 18, ditemui oleh nelayan tempatan di perairan Selatan Pengerang, Kota Tinggi.

Jumlah itu menyaksikan seramai tiga daripada empat mangsa setakat ini telah ditemui selepas mangsa pertama diselamatkan iaitu seorang wanita warga Norway dikenali Kristine Grodem, 35, ditemui kru bot tunda kira-kira 30 batu nautika dari lokasi kejadian pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Dua daripada mangsa yang baharu ditemui kini ditempatkan di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang sementara Kristine pula menerima rawatan di Hospital Mersing.

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari keempat kini ditumpukan kepada seorang lagi mangsa iaitu anak lelaki kepada Adrian, Nathan Chester berusia 14 tahun yang masih hilang.