Sajian kampung di puncak menara berputar

Mohamad Zamri (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak Insan Berkat ketika diraikan dalam majlis berbuka puasa.
Mohamad Zamri (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak Insan Berkat ketika diraikan dalam majlis berbuka puasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengalaman unik menyaksikan keindahan senja pada ketinggian 94 meter sambil menikmati juadah kampung di menara berputar sememangnya menakjubkan.

Suasana itu ditawarkan Menara Alor Setar bagi memeriahkan kembali suasana Ramadan dengan sajian ‘Starsky Sunset Dinner’ berkonsepkan ‘Kembali Ke Kampung Halaman’ di Restoran Berputar Starsky Restaurant & Lounge.

Pengurus Besar Menara Alor Setar, Mohamad Zamri Abdul Razak berkata, pelanggan disajikan dengan pertukaran menu utama setiap minggu berasaskan beberapa negeri bermula minggu pertama dengan masakan utara diikuti menu dari Johor dan Melaka.

“Pada minggu ketiga pula kita sajikan masakan dari Perak. Minggu akhir Ramadan pula dihidangkan masakan utara dan pantai timur.

"Antara hidangan tradisi yang turut disajikan ialah nasi ulam, gulai panas serta bubur lambuk pada setiap hari yang merupakan menu istimewa ‘Kembali Ke Kampung Halaman’,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama anak yatim dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak Insan Berkat, media, penulis blog dan 'influencer' dari Kedah.

Menurutnya, tema sajian yang diperkenalkan dengan kerjasama strategik Segi Seri Sdn Bhd bertujuan mempromosikan menara telekomunikasi kedua tertinggi dalam negara dengan ketinggian 165.5 meter dari aras laut.

Mohamad Zamri memaklumkan, menu yang ditawarkan bermula pada Selasa hingga 1 Mei depan setiap hari dengan harga RM72 untuk dewasa manakala 40 untuk kanak-kanak (RM40) dan warga emas, RM45.

Beliau turut memaklumkan, selain menyediakan pelbagai menu kepada pengunjung yang ingin menikmati hidangan di kayangan sambil menikmati pemandangan Bandaraya Alor Setar, restoran berputar itu juga sesuai untuk semua majlis seperti perkahwinan, makan malam, ulang tahun perkahwinan dan majlis perjumpaan pelajar.

Artikel Berkaitan:

“Bermula bulan ini, semua pengunjung yang ingin melawat ke Pelantar Terbuka dan Pelantar Pemandangan yang terletak di aras 88 meter di Menara Alor Setar, kita tawarkan potongan harga tiket 50 peratus kepada semua golongan,” katanya.

Menurutnya lagi, antara produk yang mendapat perhatian pengunjung adalah Pelantar Terbuka yang terdapat dua kotak kaca di sebelah utara dan selatan pada aras 105 meter untuk menikmati pemandangan indah waktu senja.

Pada Mac lalu, Menara Alor Setar memperkenalkan produk baharu, ‘Dropzone & Snapsky’ pada harga promosi RM99 kepada semua golongan dengan terma dan syarat mengikut tempahan awal.