Tiga individu ditahan cuba rempuh polis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki warga asing serta seorang lelaki dan wanita tempatan selepas disyaki terlibat dalam insiden cubaan merempuh anggota polis di Sungai Long dekat Kajang, Selangor, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, ketiga-tiganya yang berusia antara 34 dan 38 tahun ditahan di Bandar Sungai Long kira-kira 12.30 tengah hari semalam hasil pemantauan dan pemeriksaan.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 2.14 pagi itu, tiga anggota polis yang menjalankan tugas ronda cegah jenayah terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Polis kemudian cuba menghentikan kereta itu, namun suspek memecut dan memandu secara melulu yang menyebabkan polis mengejar suspek sejauh tiga kilometer.

"Ketika dikejar, suspek beberapa kali cuba menghimpit polis yang menaiki motosikal dan apabila tiba di sebatang jalan mati, suspek tetap enggan memberhentikan kenderaan dan bertindak membuat pusingan U serta cuba merempuh ketiga-tiga anggota polis tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tindakan agresif suspek telah menyebabkan polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta tersebut namun suspek berjaya meloloskan diri.

Mohd Zaid berkata, selain penahanan ketiga-tiga individu itu, polis turut merampas sebuah Perodua Myvi yang mempunyai kesan tembakan disyaki terlibat dalam kes itu.

Beliau berkata, kesemuanya akan direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam bertugas dan Seksyen 307 kanun sama kerana cubaan bunuh selain polis sedang mengesan beberapa individu lain yang disyaki turut terlibat kes itu.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: