Keputusan Zahid mohon dapatkan rakaman kenyataan 15 saksi 9 Mei

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini akan memutuskan permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan rakaman kenyataan 15 saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) pada 9 Mei depan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah pembelaan dan pendakwaan pada Jumaat.

Terdahulu, peguam Hisham Teh Poh Teik berkata, anak guamnya berhak mendapat perbicaraan yang adil, justeru pembelaan perlu melihat rakaman kenyataan itu.

"Yang Arif, rakaman kenyataan saksi dan kertas siasatan terbabit secara tiba-tiba diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) pada bulan lepas.

"Hujah bahawa terdapat unsur mala fide dalam kes ini terus diperkukuh kerana ketika pendakwaan mengemukakan dokumen itu, ia tidak disahkan sebagai ‘Rahsia’... waktu klasifikasi itu jelas membuktikan wujudnya niat jahat. Ia disahkan sebagai rahsia pada 7 Mac selepas kami memfailkan permohonan pada 18 Februari dan inferens yang tidak dapat dinafikan ialah tindakan itu dibuat untuk menghalang pembelaan,” katanya.

Hisham berkata, antara yang dimohon ialah rakaman kenyataan saksi Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, yang juga saudara kandung Ahmad Zahid, kerana mempunyai kaitan dengan pertuduhan ke-11 dan tanpa dokumen itu, pembelaan dalam dilema sama ada akan memanggilnya sebagai saksi atau tidak.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran pula berhujah pendakwaan tidak mempunyai kewajipan untuk memberikan rakaman kenyataan terbabit kepada pembelaan kerana saksi sendiri tidak mempunyai akses kepada dokumen itu.

Pada 13 April ini, Ahmad Zahid dijadualkan membela diri terhadap 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Pada 24 Januari lepas, Sequerah mengarahkan Ahmad Zahid membela diri atas semua pertuduhan selepas memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.- Bernama

Artikel Berkaitan: