Empati PM New Zealand curi tumpuan dunia

Sikap kepimpinan Ardern mendapat perhatian banyak pihak.
Sikap kepimpinan Ardern mendapat perhatian banyak pihak.
A
A
A

CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND. Nama Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mula meniti di bibir banyak pihak sejak kebelakangan ini.

Kepimpinan dan sifat empati pemimpin wanita berusia 38 tahun itu dalam menangani insiden serangan terburuk yang meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa di dua masjid di Christchurch dalam sejarah moden di negara itu dipuji banyak pihak.

Tragedi berdarah itu telah berlalu selama seminggu dan Ardern terus memainkan peranannya sebagai pemimpin sebenar untuk meredakan ketakutan dan kebimbangan rakyat terutamanya komuniti Islam.

Ardern menjadi pemimpin pertama membawa bayinya ke Perhimpunan Agung PBB.
Ardern menjadi pemimpin pertama membawa bayinya ke Perhimpunan Agung PBB.

Di tengah-tengah situasi tegang itu, Ardern tahu bagaimana untuk menyatakan pendapatnya tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak walaupun kebanyakan pemimpin Barat tidak mengalu-alukan golongan migran di negara mereka.

Malah, Ardern dengan rendah diri menganggap pelarian sebagai sebahagian daripada rakyat negara itu.

"Jelas sekali apa yang berlaku di sini adalah luar biasa dan tindakan keganasan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kebanyakan daripada mereka mungkin migran atau pelarian.

Mereka telah memilih New Zealand sebagai tempat tinggal mereka. Mereka adalah sebahagian daripada kita. Individu yang melakukan keganasan ini tiada tempat di New Zealand," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mesej perdana menteri paling muda di negara itu adalah jelas.

Kerajaan New Zealand akan berdiri bersama mangsa dan komuniti Islam selain mengutuk insiden keganasan itu.

Pada minggu lalu, rangkaian media sosial The Other 98% turut berkongsi meme memaparkan imej Ardern dan teks memuji tindakannya dalam menghadapi insiden serangan berdarah yang menyasarkan komuniti Islam. Ardern meraih pujian ramai atas kepimpinannya menangani tragedi tersebut.

Wanita tersebut pernah menjadi DJ sebelum terjun ke dalam bidang politik.
Wanita tersebut pernah menjadi DJ sebelum terjun ke dalam bidang politik.

Beliau memakai tudung hitam sebagai tanda menghormati mangsa malah wajah pemimpin wanita itu berhijab turut mencuri tumpuan ketika kunjungannya ke Pusat Pelarian Canterbury pada 16 Mac lalu.

Ardern juga mengesahkan mangsa dan keluarga mereka akan menerima bantuan kewangan daripada kerajaan.

Ketika berucap di Parlimen beberapa hari kemudian, beliau mengejutkan banyak pihak selepas memulakan ucapannya dengan 'Assalamualaikum' selain menegaskan tidak akan menyebut nama pengganas terbabit.

Ardern turut menunaikan janjinya untuk mengetatkan undang-undang senjata api selepas negara itu mengharamkan segala bentuk senjata semiautomatik atau ala tentera berkuatkuasa April depan sebagai langkah untuk melindungi rakyat negara terbabit. - Agensi

Info:

>Pada Oktober 2017, Ardern menjadi perdana menteri termuda di New Zealand sejak 1856

>Pada 2008, beliau menjadi Ahli Parlimen paling muda Parti Buruh

>Beliau sering dibandingkan dengan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron Segelintir pihak mempertikaikan kredibiliti beliau hingga mencetuskan istilah Jacindamania

>Pada 2018, beliau disenaraikan sebagai 100 individu paling berpengaruh oleh majalah Time

>Menjadi pemimpin kedua di dunia melahirkan anak ketika masih berkhidmat selepas bekas PM Pakistan, Benazir Bhutto pada 1990

>Menjadi pemimpin pertama membawa bayinya ketika Perhimpunan Agung PBB

>Pencinta muzik dan pernah menjadi DJ. Di sebalik senyuman memukau wanita itu, beliau pernah bermain set DJ selama 45 minit di Festival Muzik Laneway di Auckland pada 2014

>Berkahwin dengan personaliti TV, Clarke Gayford dan dikurniakan seorang puteri, Neve Te Aroha

>The Washington Post melaporkan Ardern berkunjung ke Christchurch selepas tragedi itu, melawat pelarian dan komuniti Islam

>Meminta seluruh rakyat New Zealand bertafakur selama dua minit dan laungan azan disiarkan secara langsung