BSN berkongsi rezeki, rai penghantar makanan foodpanda

Ketua Pegawai Modal Insan BSN, Izham Ab Wahab (kiri), Naib Presiden Kanan/Ketua Operasi Kredit BSN, Azlan Abu Bakar dan Ketua Pegawai Kewangan BSN, Norhafizah Md Shariff menyampaikan sumbangan juadah berbuka puasa kepada penghantar makanan foodpanda di Wisma BSN, Jalan Ampang.
Ketua Pegawai Modal Insan BSN, Izham Ab Wahab (kiri), Naib Presiden Kanan/Ketua Operasi Kredit BSN, Azlan Abu Bakar dan Ketua Pegawai Kewangan BSN, Norhafizah Md Shariff menyampaikan sumbangan juadah berbuka puasa kepada penghantar makanan foodpanda di Wisma BSN, Jalan Ampang.
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), BSN Care meneruskan inisiatif untuk berkongsi rezeki bersama komuniti melalui program ‘Geng Rider, Berbuka Apa tu?’ bersempena bulan Ramadan dengan kerjasama foodpanda Malaysia Sdn. Bhd (foodpanda).

BSN dalam satu kenyataannya berkata, program itu dilaksanakan bagi meraikan penghantar makanan foodpanda dengan membekalkan juadah berbuka puasa.

Menurutnya kenyataan itu, BSN menyediakan sebanyak 7,800 pek makanan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM78,000 melalui foodpanda for Business.

“Juadah berbuka puasa ini ditempatkan di cawangan-cawangan BSN terpilih di seluruh Malaysia mengikut tarikh-tarikh yang telah dikenal pasti,” jelas kenyataan itu pada Khamis.

Pelancaran program ‘Geng Rider, Berbuka Apa tu?’ dilaksanakan di Wisma BSN, Jalan Ampang dan telah dihadiri oleh barisan pengurusan kanan BSN serta Pengarah Operasi foodpanda, Kelvin Chan dan Ketua Logistik foodpanda, Shubham Saran.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, BSN sedia maklum bahawa penghantar makanan ini perlu bertugas tanpa mengira waktu dan mereka antara barisan hadapan yang memainkan peranan penting terutamanya ketika negara mengharungi wabak Covid-19.

Pengurusan BSN dan foodpanda bergambar bersama penghantar makanan yang hadir menerima juadah berbuka puasa di Wisma BSN, Kuala Lumpur.
Pengurusan BSN dan foodpanda bergambar bersama penghantar makanan yang hadir menerima juadah berbuka puasa di Wisma BSN, Kuala Lumpur.

“Melalui penganjuran program ini, kami berharap ia dapat memudahkan urusan sekali gus membawa keceriaan kepada mereka dalam bulan Ramadan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Chan berkata, rakan-rakan penghantar merupakan komponen utama dalam operasi harian.

“Kami berharap program ini dapat membawa keriangan kepada rakan-rakan penghantar, melalui hidangan makanan yang lazat untuk berbuka puasa. Kami bersyukur kepada para penghantar kerana selama ini memastikan rakyat Malaysia menerima tempahan makanan dan barang keperluan mereka dengan efisien,” katanya.

Program ‘Geng Rider, Berbuka Apa tu?’ dilaksanakan di Wilayah Tengah (Kuala Lumpur dan Selangor) pada 7 April 2022, Wilayah Selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) pada 11 April 2022 dan Wilayah Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) pada 14 April 2022.

Kelvin (kiri) dan Subran (dua dari kiri) menyampaikan juadah berbuka puasa kepada penghantar makanan foodpanda.
Kelvin (kiri) dan Subran (dua dari kiri) menyampaikan juadah berbuka puasa kepada penghantar makanan foodpanda.

Selain itu, di Wilayah Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) diadakan pada 14 April 2022 dan Wilayah Utara (Kedah,Perlis, Perak dan Pulau Pinang) pada 21 April 2022.

Selain itu, program itu juga dilaksanakan di bawah salah satu teras BSN Care iaitu ‘Komuniti’ yang menyediakan peluang untuk menjana kehidupan mapan dan impak sosial.

Para penghantar makanan foodpanda boleh mengetahui lokasi cawangan BSN berhampiran dengan mereka melalui laman Facebook BSN Malaysia.

foodpanda for Business merupakan perkhidmatan eksklusif untuk pelanggan korporat yang membolehkan elaun pekerja, memberi akses kepada katering, diskaun eksklusif, e-baucar serta pakej pekerja yang boleh disesuaikan dan langganan pandapro.