Berdebar Sultan Johor datang

Ahmad menunjukkan gambarnya bersama Sultan Ibrahim semasa kunjungan baginda ke warung berkenaan empat tahun lalu.
Ahmad menunjukkan gambarnya bersama Sultan Ibrahim semasa kunjungan baginda ke warung berkenaan empat tahun lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Warung Saga yang terletak di Jalan Mahmoodiah berhampiran persimpangan Jalan Yahya Awal, di sini, semestinya antara nama yang tidak asing buat penduduk di bandar raya ini.

Selain menyajikan hidangan tradisional Johor yang lazat, warung itu juga dikenali kerana keunikan konsep dalamannya yang menerapkan elemen sejarah sebagai pengisian utama.

Namanya yang diambil daripada kereta pertama nasional iaitu Proton Saga juga sudah cukup membuktikan betapa sejarah begitu istimewa buat warung kecil di tengah-tengah bandar raya ini.

Koleksi foto Sultan Johor yang dipamerkan di warung berkenaan.
Koleksi foto Sultan Johor yang dipamerkan di warung berkenaan.

Lebih menarik, Warung Saga yang beroperasi sejak awal 80-an ini turut menyerlahkan dekorasi dalamannya dengan pelbagai jenis gambar berkaitan sejarah Johor.

Difahamkan, warung tersebut telah diusahakan seorang lelaki dikenali sebagai Allahyarham Ismail Safri sebelum diambil alih anak lelakinya pada penghujung 2015.

Paparan liku pemerintahan di Johor

Menjengah masuk warung berkenaan mampu menimbulkan pelbagai nostalgianya.

Mana tidaknya, ratusan bingkai gambar yang dilekatkan di dinding membawa 1,001 cerita dan peristiwa yang berlaku di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, kesemua koleksi tersebut mempunyai nilai sentimental buat Allahyarham Ismail.

Antaranya ialah foto tokoh Johor seperti koleksi foto sultan di bawah pemerintahan Kesultanan Johor Moden bermula daripada Temenggong Daeng Ibrahim sehingga kini.

Turut kelihatan beberapa foto peristiwa menarik di negeri ini antaranya Hari Kemahkotaan Sultan.

Tak cukup dengan itu, Warung Saga turut mempamerkan koleksi foto Menteri Besar Johor dan Ketua Polis Negeri.

Pemiliknya, Ahmad Ismail, 37, berkata, sejak mengambil alih kedai tersebut, dia tidak melakukan perubahan ketara malah akan mengekalkan konsepnya itu selama mungkin.

Katanya, ia adalah hasrat Allahyarham ayahnya yang mahu warung itu menjadi sebahagian daripada masyarakat melalui perkongsian ilmu.

"Tidak akan ubah dan akan kekal macam mana yang arwah abah nak. Hiasan, menu malah harganya juga sama.

"Kita teruskan macam mana arwah abah buat. Kita juga tak bercadang naikkan harga makanan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Warung Saga sentiasa dikunjungi pelanggan tetap dan menaikkan harga makanan adalah sesuatu yang sukar dilakukan.

"Kita nak naikkan harga pun tidak sedap. Kita faham bila orang datang, makan puas dengan harga kita bagi cukuplah.

"Lagipun kita anggap pelanggan pun dah macam keluarga kita juga," katanya. Sultan Ibrahim belanja pelanggan

Menceritakan pengalaman manis di warung terbabit, Ahmad berkata, dia masih lagi tidak dapat melupakan kunjungan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke warungnya empat tahun lalu.

"Masa itu Sultan Ibrahim datang mengejut. Pagi itu pengawal keselamatan bagi tahu nak datang dalam 30 minit tapi terus sampai. Kami pun tak buat persiapan apa cuma kemas-kemas sikit. Bimbang juga masa itu cuma ada satu menu sahaja mee rebus.

"Bila Sultan Ibrahim sampai, kita memang berdebar. Di sini saya nampak sisi Sultan Ibrahim sebenar. Baginda memang seorang yang baik, ramah dan menyayangi rakyatnya," katanya.

Tambahnya, pada hari berkenaan, Sultan Ibrahim telah membayar kesemua makanan pelanggan yang datang menjamu selera di warungnya dari pagi hingga petang.