Najwan tawar diri bertanding calon Majlis Pimpinan Pusat PKR

Mohd Najwan
Mohd Najwan
A
A
A

SHAH ALAM - Mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohd Najwan Halimi menawarkan diri bertanding sebagai calon Timbalan Ketua Cabang Keadilan Shah Alam dan Majlis Pimpinan Pusat dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022.

Beliau menerusi satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas berbincang bersama rakan-rakan pimpinan, anggota serta penyokong di peringkat cabang, negeri dan pusat.

Mohd Najwan berkata, selaku anggota parti yang mempunyai pengalaman menerajui sayap pemuda Keadilan Selangor, beliau sentiasa mengutamakan pengukuhan organisasi pemuda dan perkaderan anggota baharu dalam gerak kerja politiknya.

"Ia terbukti menerusi pendaftaran ranting-ranting dan pertambahan jumlah anggota PKR khusus di Cabang Shah Alam yang mencecah lebih 11,000 anggota berbanding 9,000 anggota pada 2018.

"Maka dengan penuh rendah diri, saya mengesahkan hasrat untuk menawarkan diri sebagai calon Timbalan Ketua Cabang Keadlian Shah Alam dan Majlis Pimpinan Pusat dalam Pemilihan PKR 2022 tahun ini," katanya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata, beliau sentiasa komited dan konsisten dalam memastikan suara, kepentingan masyarakat di kawasannya diangkat serta diberi perhatian serius oleh kerajaan Selangor.

"Dengan mendukung semangat keluarga besar PKR, saya berharap agar Pemilihan PKR 2022 kali ini dilaksanakan dalam suasana penuh hemah serta mengangkat politik berasaskan nilai, idea dan khidmat kepada parti dan anggota," katanya.

Proses penamaan calon peringkat pimpinan di semua 222 cabang seluruh negara bagi Pemilihan PKR 2022 akan berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini (Jumaat).

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam coretannya di Facebook turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua yang mengambil bahagian dalam pemilihan di peringkat cabang.