Pegawai pendidikan mengaku tidak salah terima suapan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

TAWAU - Seorang pegawai pendidikan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Tawau pada Jumaat atas pertuduhan menerima suapan RM5,000 membabitkan kontrak bernilai RM223,247.

Tertuduh, Abdul Samad Amara, 44, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut pertuduhan, tertuduh pada 11 September 2020 di dalam sebuah kenderaan di kawasan Taman Univila di sini sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG44 bertugas sebagai Ketua Unit Infrastruktur dan Pembangunan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau telah menerima sesuatu yang berharga dengan tiada balasan iaitu wang tunai RM5,000 daripada seorang pemilik syarikat.

Tertuduh mengetahui bahawa pemilik syarikat terbabit mungkin ada berkaitan dengan kerja-kerja rasminya iaitu memilih syarikat terbabit untuk kerja membaik pulih dan penyelenggaraan Sekolah Kebangsaan (SK) Balung dengan nilai RM223,247.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan deposit sebanyak RM3,000 bersama seorang penjamin tempatan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan, pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang mendekati saksi.

Mahkamah menetapkan 3 Jun depan sebagai tarikh sebutan untuk pengurusan kes.

Sebelum itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: