Skuba, snorkeling di Mersing diteruskan selepas penilaian risiko

Pemandangan sekitar Timur Bandar Penawar dan Pulau Sibu, ketika Helikopter Agusta Westland AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) melakukan pemantauan udara di lokasi mencari dan menyelamat bagi mengesan tiga penyelam warga asing yang dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, pada Jumaat. - Foto Bernama
Pemandangan sekitar Timur Bandar Penawar dan Pulau Sibu, ketika Helikopter Agusta Westland AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) melakukan pemantauan udara di lokasi mencari dan menyelamat bagi mengesan tiga penyelam warga asing yang dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MERSING - Aktiviti selam skuba, selam snorkel dan lawatan pulau-pulau di sekitar perairan Mersing yang dihentikan berkuat kuasa serta-merta semalam, hanya akan diteruskan selepas penilaian risiko dilakukan, kata Pegawai Daerah Mersing Mohammed Shakib Ali.

Beliau berkata, ini kerana, insiden kehilangan penyelam di perairan itu pada Rabu lepas adalah yang kedua berlaku membabitkan pengemudi bot yang dikesan berada di bawah pengaruh dadah.

"Aktiviti-aktiviti pelancongan seperti island hopping dan sebagainya, akan diteruskan semula apabila kita buat penilaian risiko mengenai aktiviti di laut memandangkan ini merupakan insiden kedua kita dapati bahawa pengemudi bot positif dadah.

"Oleh itu, pada saya perlu ada satu pendekatan untuk kita bersama-sama dengan persatuan atau pemiik bot untuk kita pantau kakitangan mereka semasa mengendalikan aktiviti di laut," katanya dalam sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini, pada Jumaat.

Menurut Mohammed Shakib, perkara seumpama itu tidak seharusnya berlaku sehingga mendatangkan keraguan kepada pelancong yang mahu mengunjungi daerah itu, berikutan insiden berkenaan.

Selain itu, Mohammed Shakib berkata, Majlis Daerah Mersing (MDM) menerusi Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian sedang dalam peringkat menguatkuasakan peraturan aktiviti air.

Katanya, di bawah peraturan itu akan dimasukkan syarat bahawa pusat menyelam perlu mempunyai lesen selain melaporkan setiap aktiviti mereka serta mengenakan bayaran berpatutan bagi menjalankan aktiviti berkenaan.

Pada tengah hari Rabu, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di sekitar Pulau Tokong Sanggol, di sini.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, tekong bot yang membuat laporan mengenai kehilangan itu, ditahan selepas memberi keterangan pada pukul 11.30 malam hari yang sama, selepas ujian air kencingnya menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine. - Bernama