Bukan setuju, tapi tiada pilihan lain

111115
111115
A
A
A

SHAH ALAM - Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) tiada ada pilihan lain dan terpaksa akur dengan tawaran yang diberikan agensi itu agar bayaran elaun sara hidup dikurangkan kepada RM1,000.

Penasihat Suara Generasi Baru Felda, Datuk Zulkefli Nordin berkata, keputusan yang dimaklumkan oleh Ketua Peneroka Felda, Sulong Jamil Mohd Shariff itu bukanlah dibuat secara bersendirian namun ia diputuskan dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP).

"Pengumuman yang diuar-uarkan dalam media yang mengatakan bahawa peneroka bersetuju bayaran sara hidup dikurangkan sebenarnya tidak tepat.

"Sebenarnya peneroka Felda ini tiada pilihan lain, kalau kita masih berkeras mahu keadaan seperti sebelum ini perkara tidak akan selesai," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Isnin lalu, media tempatan melaporkan bahawa Sulong Jamil membuat kenyataan bahawa peneroka Felda bersetuju bayaran elaun sara hidup dikurangkan kepada RM1,000 berbanding RM1,500 sebelum ini.

Pada masa sama, beliau yang mewakili peneroka turut meminta kerajaan menambah RM500 bagi mengurangkan beban kos sara hidup golongan berkenaan.

Mengulas lanjut, Zulkefli berkata, pihaknya diberitahu keputusan untuk menerima bayaran elaun tersebut dikurangkan dibuat setelah melihat beberapa faktor termasuklah keadaan semasa ekonomi Felda.

"Saya sendiri bertanya kepada beliau (Sulong Jamil) mengapa keputusan itu dibuat dan beliau menjelaskan keputusan dibuat secara bersama dengan ahli jawatankuasa JKPP dengan mengambil kira kedudukan ekonomi Felda dan juga masalah yang menimpa para peneroka yang tidak diketahui bila akan selesai.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai anak peneroka, saya bersetuju dengan keputusan tersebut," jelasnya.

Sebelum ini, peneroka Felda menerima elaun sara hidup (dalam bentuk pinjaman) RM1,500 bagi 10 ekar (4 hektar) tanah untuk program tanam semula atau RM150 bagi setiap ekar (0.4 hektar) dimulakan sejak 2016.

Felda membelanjakan RM500 juta setahun bagi membiayai pemberian elaun sara hidup kepada 30,000 peneroka yang terbabit dengan program penanaman semula.

end