Penjualan tanah lapangan terbang hilangkan peluang rancak ekonomi

Gambar hiasan - Foto 123RF. (Gambar kecil: Nordin)
Gambar hiasan - Foto 123RF. (Gambar kecil: Nordin)
A
A
A

PASIR SALAK - Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah menganggap penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar satu kehilangan peluang merancakkan ekonomi yang besar buat penduduk di daerah Perak Tengah.

Pengerusinya, Nordin Abdul Malek berkata, kewujudan lapangan terbang di Seri Iskandar amat dinanti-nantikan oleh penduduk kerana ia bakal merancakkan lagi ekonomi di daerah tersebut.

Menurut beliau, dengan adanya lapangan terbang itu sudah tentu daerah Perak Tengah akan menerima pelbagai kemudahan dan pembinaan infrastruktur awam yang memberi manfaat kepada penduduk.

"Sebagai anak jati Perak Tengah, saya berasa sedih, kecewa dan geram apabila mendapat tahu lapangan terbang ini tidak dapat dilaksanakan kerana tanah dicadangkan itu telah dijual oleh pihak tertentu yang berkuasa.

"Ini merupakan satu tragedi yang amat mendukacitakan dan satu petanda buruk kepada kepimpinan negeri Perak kerana ada pemimpin tertentu yang sanggup mengkhianati amanah dan masa depan negeri," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Institut Agro Usahawan (IGROW), Kampung Gajah, di sini pada Khamis.

Nordin berkata, perkembangan ekonomi di daerah itu banyak bergantung kepada inisiatif komuniti seperti pelaksanaan program My Kampung My Future (MKMF) di Pulau Tiga, di sini dan industri pelancongan warisan Perak Tengah.

Katanya, pembinaan lapangan terbang itu jika direalisasikan mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan Perak Tengah yang kebanyakan mereka terdiri dalam kalangan B40.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pengurusan tanah di Perak yang dilihat berkecamuk ketika ini akan merosakkan peluang ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Jika dasar dan pengurusan tanah tidak dibaiki, Perak tidak boleh membangun dan kekal jadi negeri miskin tegar. Kita juga tidak dapat keyakinan pelabur kerana terdapat isu tanah merugikan banyak pihak.

"Saya meminta supaya pihak berkuasa tidak takut dengan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang dianggap sebagai mengkhianati tanah-tanah di Perak ini," katanya.

Pada Rabu lalu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad memaklumkan pihaknya telah memulakan siasatan berhubung penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar susulan laporan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi.