Laluan sunyi sasaran buang sampah secara haram

Selepas kerja pembersihan dilakukan, kini kawasan yang sama dipenuhi sampah sarap.
Selepas kerja pembersihan dilakukan, kini kawasan yang sama dipenuhi sampah sarap.
A
A
A

KUANTAN – Tiada kesedaran sivik, biadab dan pengotor. Itu tabiat buruk segelintir pihak yang sewenang-wenangnya membuang sampah secara haram di beberapa laluan sunyi di Kampung Bukit Setongkol, di sini.

Keadaan itu bukan saja menyakitkan mata memandang, malah dikhuatiri mengundang risiko penyakit berbahaya antaranya penularan wabak denggi.

Lebih teruk, ada yang ‘buta’ undang-undang dan masih membuang sampah-sarap di lokasi haram walaupun papan tanda larangan diletakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan terbabit.

Amaran langsung tidak diendahkan, sebaliknya bungkusan plastik, bekas makanan polistirena, kayu, tilam dan pelbagai sampah lain terus dilonggokkan.

Penduduk, Rohaya Mat Deris, 45, berkata, dia yang kerap kerap berulang-alik ke tempat kerjanya di bandar Kuantan rimas melihat laluan dipenuhi sampah. Katanya, masalah pembuangan sampah di kawasan itu sudah berlarutan selama tiga tahun.

“Saya pelik mengapa sampah itu dibuang di laluan kampung ini sedangkan tong disediakan di rumah mereka atau premis perniagaan. Selain berbau busuk terutama selepas hujan, sampah itu turut diselongkar anjing liar," katanya.

Sementara itu, Lee Fei Hwei, 33, berkata, semakin ramai yang membuang sampah di kawasan terbabit.

“Kalau tidak silap banyak kali aduan dibuat dan beberapa kali sampah sarap ini dibersihkan, tetapi bila dibersihkan pada waktu pagi, petang ada semula.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan kesan jangka pendek memang ada, tetapi kami mahukan tindakan jangka panjang agar masalah ini diselesaikan terus tanpa berulang lagi," katanya.

Dia berharap pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

Tan Chin Khoon, 44, pula berkata, dia risaukan keselamatan dan kesihatan keluarganya.

"Pelbagai penyakit boleh datang kepada kami seperti demam denggi. Tambahan pula, mereka yang buang sampah di sini datang dengan lori besar, plastik hitam dua tiga bungkus sewenang-wenangnya dilemparkan dari dalam kereta terus ke sini. Nak tegur pun takut sebab keselamatan kami boleh terancam," katanya.