Rangnick beri bayangan Garnacho beraksi

Garnacho - Foto Getty Images
Garnacho - Foto Getty Images
A
A
A

TINDAKAN pengendali interim Manchester United, Ralf Rangnick memanggil pemain akademi, Aljandro Garnacho menyertai latihan baru-baru ini memberikan bayangan bahawa pemain berusia 18 tahun itu bakal beraksi berdepan Everton di Goodison Park, pada Sabtu.

Bagaimanapun menurut Rangnick, sebarang keputusan bagi menamakan kesebelasan utama skuad The Red Devils itu hanya akan diumumkan pada sebelah pagi sebelum perlawanan bermula.

“Ya, Garnacho menyertai latihan bersama kami baru-baru ini dan dia akan berada dalam senarai pemain ke Goodison Park.

“Bagaimanapun, itu tidak bermakna dia akan beraksi kerana kami mahu memilih pemain yang tepat untuk diturunkan dalam usaha mencatatkan kemenangan,” katanya.

Untuk rekod, United yang kini berada pada kedudukan ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 51 mata memerlukan kemenangan untuk kembali mencabar kedudukan empat pasukan teratas musim ini.

Justeru, panggilan terhadap Garnacho yang beraksi di bahagian sayap dilihat antara usaha bagi memastikan sasaran berkenaan dapat direalisasikan.

Mengulas lanjut, Rangnick mengingatkan kesebelasan United untuk berwaspada dengan corak taktikal dipamerkan Everton yang pasti beraksi bermati-matian bagi melakar kemenangan untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Malah katanya, skuad The Toffees itu juga pasti mahu bangkit daripada kekalahan 2-3 kepada Burnley Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga perlu berhati-hati dengan cabaran daripada Everton yang dijangka beraksi sehabis baik bagi mencatatkan kemenangan.

“Sebab itulah, kita perlu memastikan kita memiliki barisan terbaik untuk diturunkan nanti,” katanya.