Abdul Khair, Nor Farhatul johan tilawah al-Quran

Johan Qari Abdul Khair Jalil dari Selangor bersama johan Qariah Nor Farhatul Fairuzah Panut dari Negeri Sembilan menunjukkan piala masing-masing pada majlis penutup dan penyampaian hadiah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1440H/2019M malam ini. - Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - Qari Selangor, Abdul Khair Jalil dan qariah Negeri Sembilan, Nor Farhatul Fairuzah Panut, masing-masing dinobatkan sebagai johan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan yang menutup tirai, malam ini.

Kedua-dua mereka dipilih sebagai pemenang dengan pungutan markah keseluruhan tertinggi bagi qari 89.68 peratus dan qariah 86.67 peratus pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440/2019M di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, di sini.

Johan qari dan qariah menerima wang tunai RM15,000, tambahan tunai RM10,000 untuk menunaikan ibadah haji, cenderamata dan sijil penyertaan serta hadiah sumbangan daripada kerajaan Negeri Sembilan berupa simpanan emas bernilai RM1,400.

Penyampaian hadiah kepada pemenang kategori lelaki disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir manakala kategori wanita disampaikan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Majlis itu juga turut dihadiri Undang Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Datuk Muhammad Abdullah dan Tok Puan Faridah Hanom Jaafar, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, serta barisan Exco kerajaan negeri.

Sementara itu, qari Kelantan Muhammad Qayyim Nizar dan qari Wilayah Persekutuan Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga dengan pungutan markah 87.66 dan 87.33 peratus.

Bagi kategori wanita, tempat kedua menjadi milik qariah Selangor, Nor Faizah Panut (86.34 peratus) manakala tempat ketiga dimenangi qariah Pulau Pinang, Awatif Abd Majid (82.33 peratus).

Bagi hafazan kategori juzuk 1-30 berserta tafsir, johan lelaki dimenangi hafiz Kelantan Abdullah Ulwan Ismail dengan mencatat 97.93 peratus manakala kategori wanita diungguli hafizah Kedah Raudah Abdul Razak (94.43 peratus).

Johan hafazan juzuk 1-20 pula dimenangi hafiz Selangor, Ahmad Adil Luqman Ismail (97.63 peratus) dan hafizah Perak, Adibah Husni Ahmad Rozaini (96.53 peratus), manakala johan kategori juzuk 1-10, masing-masing milik hafiz Selangor, Muhammad Al-Nawawi Borhan (98.44 peratus) dan hafizah Selangor, Ummi Najdah Abd Samad (97.43 peratus)

Johan lelaki dan wanita kategori utama hafazan juzuk 1-30 membawa pulang wang tunai RM15,000, tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji, piala iringan dan akaun Al-Awfar RM20,000 tajaan Bank Islam Malaysia Berhad dan hadiah sumbangan daripada kerajaan Negeri Sembilan berbentuk simpanan emas bernilai RM1,400.

Selangor dipilih sebagai johan keseluruhan tilawah al-Quran manakala johan keseluruhan hafazan diungguli Negeri Sembilan.

Majlis yang bermula 17 Mac lepas menghimpunkan 28 peserta bagi tilawah al-Quran, melibatkan 14 qari dan 14 qariah, serta 79 peserta bagi kategori hafazan. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia