90,000 hektar Hutan Simpan Kekal di Perak telah dimansuh

Foto hiasan. (Gambar kecil: Meor Razak)
Foto hiasan. (Gambar kecil: Meor Razak)
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendakwa sebanyak 18 hutan simpan kekal (HSK) dengan keluasan kira-kira 90,000 hektar di Perak telah dimansuhkan sejak tahun 1950 hingga tahun 2013.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, berdasarkan daerah hutan, kawasan Perak Selatan paling banyak dimansuhkan oleh pihak berkuasa negeri iaitu Hutan Simpan (HS) Sungai Kroh, HS Trolak, HS Srigala, HS Changkat Baharu, HS Erong, HS Changkat Jong, HS Hutan Melintang, HS Parit Dayong dan HS Rungkup.

Menurutnya, ia diikuti pemansuhan HSK di daerah Kinta dan Manjung melibatkan HS Bruas, HS Tanjung Tualang, HS Raja Hitam serta HS Pulau Pangkor Laut manakala di daerah Larut Matang pula melibatkan HS Basong serta HS Swettenham Road sementara di daerah Kuala Kangsar, hanya HS Sungai Plus.

"Tidak keterlaluan kalau menggunakan perkataan takziah kerana negeri Perak telah kehilangan banyak HSK apabila pihak berkuasa negeri memansuhkan keseluruhan HSK tersebut.

"Keluasan HSK terbesar yang dimansuhkan dalam satu pewartaan ialah HS Hutan Melintang seluas 35,334 hektar untuk tujuan pertanian," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurutnya, HS Bikam merupakan hutan simpan yang terakhir dimansuhkan keseluruhan iaitu pada 4 Julan 2013.

Dalam pada itu, Meor Razak berkata, bagaimanapun, dari segi peratus keluasan HSK di negeri ini, Perak mempunyai masih mempunyai peratus keluasan kawasan HSK yang terbesar di Semenanjung Malaysia iaitu sekitar 47 peratus daripada keluasan negeri.

"Cuma apa yang mendukacitakan, beberapa HSK yang disenaraikan tersebut mempunyai kepelbagaian hayat yang tinggi dan jenis hutan yang semakin terancam terutama hutan paya air tawar dan hutan paya gambut.

Artikel Berkaitan:

"Ada antaranya pernah dikelaskan sebagsai hutan simpanan dara (VJR)," katanya.

Pada November tahun lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menjelaskan, kerajaan Perak telah mewartakan kawasan berhutan seluas 1,741 hektar di negeri ini sebagai HSK yang baharu.

Menurutnya, kelulusan pewartaan tersebut dibuat melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sejak tahun 2017 sehingga 2021.