PATI miliki senjata, cuba ceroboh negara ditahan

Senapang angin, peluru timah buatan sendiri dan sabit yang dirampas daripada empat PATI yang ditahan kawasan tepi sungai Kampung Bakar Batu pada Khamis.
Senapang angin, peluru timah buatan sendiri dan sabit yang dirampas daripada empat PATI yang ditahan kawasan tepi sungai Kampung Bakar Batu pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Bukan setakat cuba masuk ke negara ini secara haram melalui jalan laut tetapi empat pendatang asing tanpa izin ( PATI) turut memiliki selaras senapang angin, peluru timah buatan sendiri dan sabit.

Bagaimanapun, keempat-empat PATI lelaki berusia 35 hingga 50 tahun itu berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di kawasan tepi sungai Kampung Bakar Batu pada awal pagi Khamis.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata kesemua PATI terbabit ditahan ketika menaiki sebuah Perodua Bezza dalam keadaan mencurigakan pada jam 12.15 pagi.

Katanya, seorang warga tempatan berusia 43 tahun yang merupakan pemandu kenderaan tersebut turut ditahan kerana disyaki bertindak sebagai 'transporter'.

"Sejurus ditahan, kesemua mereka telah gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini.

"Pemeriksaan terhadap bagasi pula telah menjumpai selaras senapang angin yang dileraikan kepada lima bahagian berserta tiga bungkus peluru timah buatan sendiri dan tiga bilah sabit.

"Suspek yang berasal dari Surabaya, Indonesia itu mengaku kesemua komponen senapang angin itu digunakan untuk tujuan memburu," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurut Muhd Zailani, tahanan dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Senjata Api 1960, Akta Bahan Letupan, Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya serta Akta Imigresen 1959/63.

"Orang orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah agar menyalurkan kepada pihak berkuasa terutamanya PPM Wilayah Dua di talian 07-2372221 @ 07-2372222," katanya.