Ramai kecewa pembentangan RUU Anti Lompat Parti tangguh lagi

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

RANG Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin depan ditangguhkan buat kali kedua.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Khamis susulan kabinet tidak bersetuju dengan pembentangan RUU Anti Lompat Parti itu.

Jelasnya, RUU berkenaan tidak akan dibentangkan pada sidang khas akan datang sebaliknya akan dihantar semula untuk kajian lanjut mengenai definisi ‘lompat parti’.

Bagaimanapun katanya, sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU Anti Lompat itu dibentangkan kelak.

Sebelum ini, Wan Junaidi berkata, seramai 39 ahli Parlimen di negara ini telah melompat parti sejak 2018 sehingga kini.

Katanya, tindakan melompat parti juga membawa kepada ketidakstabilan politik negara, malah negara telah menyaksikan pertukaran tiga orang Perdana Menteri dalam satu penggal Parlimen.

Seperti diduga, penangguhan itu telah menimbulkan reaksi banyak pihak terutamanya dalam kalangan ahli Parlimen.

Antaranya, Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendesak agar pembentangan RUU itu tidak ditangguhkan lagi dan perlu disegerakan.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana katanya, UMNO adalah parti paling terkesan apabila terdapat ahli Parlimennya yang melompat parti selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Kelewatan ini seolah-olah tiada keseriusan dan ketegasan, malah kurang keazaman politik untuk digubal, bahas dan diluluskan. Adakah terdapat gunting dalam lipatan di sebalik kelewatan ini?” soalnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti memerlukan kajian dan penelitian mendalam sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Jelasnya, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang masalah berhubung tindakan lompat parti timbul pada masa akan datang.

"Apabila nak lakukan perkara (gubal rang undang-undang) ini ia tidak semudah yang kita fikir kerana kita sedang fikirkan kaedah mana, sama ada segala dibuat one shot dalam Perlembagaan sahaja atau lebih tertib pinda klausa dalam Perlembagaan sebagai dasar...kalau tidak rang undang-undang ini boleh jadi null and void (batal dan tidak sah),” ujar beliau.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian menerusi laman sosial Facebook pula, majoriti rakyat menyatakan kekecewaan susulan penangguhan pembentangan RUU itu.

Rata-rata mengharapkan agar ia segera dibentangkan kerana sudah penat melihat budaya ‘lompat si katak lompat’ dalam dunia politik tanah air.

“Menteri dalam kerajaan sekarang makin ramai yang lompat sebab itu tidak suka akta lompat parti dibentangkan, banyak sangat alasannya,” luah seorang pemilik akaun Facebook.