Chong Wei layak pikul tugas lebih besar

Iskandar Zulkarnain (kanan) seringkali mendapat kata-kata nasihat daripada Chong Wei ketika mereka bergelar pemain negara.
Iskandar Zulkarnain (kanan) seringkali mendapat kata-kata nasihat daripada Chong Wei ketika mereka bergelar pemain negara.
A
A
A

BEKAS jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei dilihat lebih sesuai menjawat jawatan selaku pengarah dalam sebuah persatuan sukan terutamanya badminton berbanding bergelar seorang jurulatih.

Pendapat itu disuarakan oleh bekas pemain badminton negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin berdasarkan kepada pengalaman luas Chong Wei dalam kariernya sebagai pemain.

“Bagi saya, Chong Wei tidak sesuai jika menjadi seorang jurulatih. Ini disebabkan nama besar yang dimilikinya melayakkannya untuk menjawat jawatan yang lebih besar.

“Kalau Chong Wei pergi ke mana-mana negara, dia akan dihormati. Ini disebabkan orang kenal Chong Wei kerana dia adalah legenda badminton negara.

“Jadi dia layak memikul tugas sebagai pengarah persatuan kerana nama besar sepertinya mempunyai aura lebih hebat berbanding bergelar seorang jurulatih,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Iskandar Zulkarnain berkata demikian bagi mengulas desas-desus yang mengatakan Chong Wei bakal dilantik menjadi jurulatih pasukan kebangsaan di luar negara.

Sebelum ini, legenda negara, Datuk Misbun Sidek mengatakan Chong Wei akan menjadi seorang jurulatih yang disegani sekiranya memilih bidang kejurulatihan selepas bersara.

Malah, Misbun turut menyarankan agar bekas pemain nombor satu dunia itu berkelana ke luar negara sekiranya mahu berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Iskandar Zulkarnain yakin dengan pengalaman luas serta disiplin tinggi yang dimiliki Chong Wei ketika bergelar pemain, pasti banyak negara yang ‘menagih’ khidmatnya.

“Saya yakin Chong Wei akan dapat melaksanakan tugas dengan baik, tidak kira apa tugas yang akan dipikulnya nanti. Cuma saya percaya kepakarannya lebih daripada seorang jurulatih.

“Berdasarkan kepada pengalaman sepanjang kariernya sebagai pemain, Chong Wei ada sesuatu yang istimewa yang mampu dikongsi kepada mana-mana pemain mahupun jurulatih,” ujarnya.