Bekalan ayam, telur masih cukup di Negeri Sembilan: KPDNHEP

Bekalan ayam dan telur ayam di Negeri Sembilan masih mencukupi bagi menampung permintaan tinggi daripada orang ramai terutama ketika Ramadan hingga Syawal nanti. Foto hiasan
Bekalan ayam dan telur ayam di Negeri Sembilan masih mencukupi bagi menampung permintaan tinggi daripada orang ramai terutama ketika Ramadan hingga Syawal nanti. Foto hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Bekalan ayam dan telur ayam di Negeri Sembilan masih mencukupi bagi menampung permintaan tinggi daripada orang ramai terutama ketika Ramadan hingga Syawal nanti.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, ia berdasarkan pemantauan pihaknya di premis perniagaan selain tiada sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan itu diterima setakat ini.

"Namun kita meminta pengguna di luar bandar dan pedalaman sekiranya terputus bekalan ayam dan telur ayam untuk maklumkan segera kepada KPDNHEP negeri dan kita akan bantu penjual atau peruncit dari segi rangkaian untuk mendapatkan bekalan.

"Kita juga tidak menerima aduan kenaikan harga ayam dan sekiranya ada, orang ramai dinasihatkan untuk segera melapor kepada KPDNHEP selain disarankan menggunakan aplikasi Price Catcher untuk mengetahui harga barangan terkini," katanya selepas walkabout sempena Ops Pantau 2022 di bazar Ramadan Persiaran Metro Sendayan, di sini hari ini.

Ain Arjuna berkata, sebanyak 641 premis diperiksa di seluruh negeri menerusi Ops Pantau 2022 yang dilaksanakan bermula Ahad lepas (3 April) hingga semalam membabitkan pemantauan ke atas beberapa perkara termasuk harga dan bekalan barang serta penjualan barang tiruan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga tidak menerima aduan berkaitan kenaikan harga makanan di bazar Ramadan selain mengingatkan kepada semua peniaga agar terus mematuhi segala peraturan ditetapkan oleh kerajaan.

"Setakat ini tiada tindakan dikenakan terhadap peniaga dan kesalahan paling tinggi dikesan adalah tidak meletakkan tanda harga. Bagi minggu pertama, kita menasihati dahulu dan sekiranya masih tiada tanda harga diletakkan selepas itu maka kita akan ambil tindakan," katanya.

Jelasnya, pengguna yang berasa tertipu dengan harga dikenakan diminta terus membuat aduan kepada KPDNHEP dengan memberi maklumat lengkap termasuk gambar dan lokasi bazar terbabit.

Artikel Berkaitan:

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga diminta menyalurkan aduan lengkap kepada KPDNHEP menerusi WhatsApp di talian 019-2794317 atau 019-8488000 dan portal e-aduan.kpdnhep, katanya. - Bernama