Sukan SEA: Dua simulasi uji mental, fizikal skuad recurve

Muhammad Marbawi
Muhammad Marbawi
A
A
A

DUA kejohanan simulasi di peringkat domestik menjadi medan untuk skuad memanah recurve kebangsaan membuat persiapan terakhir dalam misi menebus kekecewaan pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam yang dijadualkan berlangsung 12 hingga 23 Mei depan.

Kedua-dua kejohanan itu akan diadakan masing-masing pada 13 hingga 15 April dan 20 hingga 22 April di Lapang Sasar Memanah Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, di sini.

Jurulatih memanah recurve negara, Muhammad Marbawi Sulaiman berkata, kejohanan anjuran Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dengan kerjasama MSN itu adalah bagi memastikan barisan atlet berada pada tahap terbaik sebelum beraksi di Hanoi.

“Tujuan utama adalah untuk menilai prestasi semasa dan mempersiapkan atlet dari segi mental terutama berkenaan aspek psikologi di mana kita akan jalankan kejohanan simulasi sama seperti jadual yang telah ditetapkan di Sukan SEA nanti.

“Jadual kejohanan itu akan bermula dari pusingan kelayakan hingga ke pusingan penyingkiran dan semua acara dipertandingkan di Sukan SEA nanti akan turut ada di kejohanan simulasi,” katanya pada sidang media Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di MSN pada Khamis.

Demi memastikan suasana pertandingan sebenar dapat diwujudkan, Muhammad Marbawi berkata, kejohanan simulasi itu turut disertai atlet luar antaranya pemanah dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sedang dalam persediaan menghadapi Sukan Universiti Dunia dan Sukan Universiti ASEAN.

Sementara itu, beliau berkata, skuad recurve yang diketuai jaguh memanah negara, Khairul Anuar Mohamad menyasarkan untuk membawa pulang dua pingat emas masing-masing menerusi acara lelaki berpasukan dan individu lelaki.

Katanya, sasaran itu realistik dan beliau optimis dengan adanya dua pemanah senior - Khairul Anuar dan Muhammad Zarif Syahiir Zolkepeli mampu memberi impak kepada pasukan yang turut dibarisi atlet junior, Bryson Ting dan Mohamad Firdaus Mohd Rusmadi.

Artikel Berkaitan:

“Saya tak kisah siapa berada dalam pasukan, kita kena sentiasa percaya antara satu sama lain kerana tempoh kejohanan ini panjang. Bagi saya tiada isu senior atau junior. Fokus saya adalah pada acara berpasukan dan satu lagi berpasukan campuran,” kata Khairul Anuar.

Sebagai rekod, kem recurve negara tidak berjaya membawa pulang pingat emas pada Sukan SEA edisi 2019 di Filipina selepas hanya meraih satu perak dan satu gangsa masing-masing dalam acara berpasukan lelaki dan berpasukan campuran.